SEPANG — Seorang pegawai dan empat anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memeras ugut dengan meminta RM4,300 daripada seorang lelaki yang kononnya memiliki dadah, Ogos lalu.
Inspektor Adli Zil-Ikram Ahmad Azman, 38, bersama empat anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal, iaitu G Neshan Kumar, 34; Mohd Fiezi Zaimin, 32; Amirul Asri Deli, 30, dan Bernard John Gempeh, 42, didakwa di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dituduh mendatangkan ketakutan dengan mengatakan terdapat banyak kes dadah terhadap lelaki berusia 34 tahun itu.
Ia mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM4,300 di hadapan CIMB Bank, Cyber 5, Cyberjaya, dekat sini, antara jam 6.20 petang pada 18 Ogos hingga 12.30 malam, 19 Ogos.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ain Madihah Zulkifli memohon setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib yang mewakili Adli Zil-Ikram, Neshan, Mohd Fiezi dan Bernard memohon semua anak guamnya diberi ikat jamin rendah.
Beliau memberi alasan mereka berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu antara tujuh hingga 15 tahun dan tiada risiko melarikan diri, semua sudah berkahwin kecuali Neshan dan masing-masing menanggung anak dan ibu bapa yang sudah uzur.
Peguam, Muhammad Qurtubi Kamruldzaman yang mewakili Amirul Asri memohon anak guamnya yang berpangkat Lans Koperal dengan pendapatan RM2,500 dan juga anak bongsu, diikat jamin RM2,000 kerana menjaga ibu bapa berusia 70 tahun.
Muhammad Bukhori membenarkan ikat jamin RM2,000 setiap tertuduh dan mengenakan syarat tambahan mereka tidak mengganggu saksi pendakwaan sebelum menetapkan 7 November depan untuk sebutan kes.
BH ONLINE