VALLETTA – Sebuah kapal membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis menuju ke Gaza dibom oleh dron ketika berada di perairan antarabangsa Malta pada awal Jumaat, kata NGO antarabangsa, The Freedom Flotilla Coalition.
Ia memuat naik rakaman video menunjukkan kebakaran di salah satu kapalnya tetapi tidak menunjukkan siapa yang boleh bertanggungjawab terhadap serangan itu. Juga tidak ada petunjuk sama ada sesiapa telah cedera.
“Serangan dron nampaknya secara khusus menyasarkan penjana kapal, dan kapal itu kini berisiko tenggelam bersama 30 aktivis hak asasi manusia antarabangsa di atas kapal,” kata NGO itu dalam catatan media sosial.
Kapal itu mengeluarkan panggilan kecemasan SOS selepas dilanda 17 batu nautika (31.5 kilometer) timur Malta, di mana Cyprus bertindak balas dengan menghantar sebuah kapal, kata badan amal itu.
Gabungan (NGO) itu berkempen untuk menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Perang Gaza bermula selepas pejuang pimpinan Hamas membunuh 1,200 orang dan membawa 251 tebusan ke Gaza dalam serangan 7 Oktober 2023, menurut pengiraan Israel. Sejak itu, serangan Israel ke atas enklaf itu membunuh lebih 52,000, menurut pegawai kesihatan Palestin.
Sebuah kapal gabungan (NGO itu) dalam misi serupa ke Gaza pada 2010 telah dihentikan dan dinaiki oleh tentera Israel, dan sembilan aktivis meninggal dunia. Kapal-kapal lain juga telah dihentikan dan dinaiki, tanpa kehilangan nyawa.
REUTERS