SEMENYIH – Agensi penguat kuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang menggunakan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri, hujung bulan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ini selepas penguatkuasaan Larangan Pemanduan ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) yang dijalankan selama empat hari.
Katanya, larangan itu akan berkuat kuasa pada 29 Mac dan 30 Mac iaitu sebelum Aidilfitri serta 5 April dan 6 April, selepas perayaan itu, mengambil kira peningkatan trafik ketara kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman.
“Tujuan Road-Ban ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.
“Kementerian Pengangkutan (MoT) dan JPJ mengingatkan semua pemilik dan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, kenderaan barangan yang gagal mematuhi peraturan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mana kompaun sebanyak RM300 atau denda di mahkamah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, beliau berkesempatan turun padang menyantuni anggota dan pegawai JPJ bertugas serta mengagihkan juadah kurma kepada pengguna jalan raya, berlangsung di hadapan Stesen Jambatan Timbang JPJ Semenyih.
Sebagai usaha berterusan MoT dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan, beliau berkata, JPJ akan melaksana aktiviti penguatkuasaan dengan strategi secara menyeluruh dan berfokus menerusi operasi khas Hari Raya Aidilfitri pada 24 Mac hingga 8 April depan.
“Operasi berkenaan adalah bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang sudah ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata, tindakan mengaudit serta menggantung lesen operasi syarikat akan diteruskan khususnya jika kenderaan berat dimiliki mereka terbabit dengan kemalangan.
Katanya, langkah yang sudah dilaksana sejak sebelum ini berupaya memberi pengajaran serta pemandu kenderaan berat supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan kenderaan diambil berat disamping memastikan pemanduan yang selamat di jalan raya.
BH ONLINE