PORT DICKSON – Seorang nelayan yang tidak pulang selepas keluar nelayan mencari di sekitar Pulau Tikus, di sini, sejak pagi semalam disahkan maut selepas mayatnya ditemui malam tadi.
Mayat Mohd Tahar Jantan, 71, ditemui jam 11.40 tengah malam di kawasan Pulau Tikus oleh orang awam yang menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohd Shaib Md Dah berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa jam 8 malam tadi, sebelum sepasukan anggota bergegas ke Pulau Tikus, lokasi biasa mangsa keluar mencari kupang.
“Operasi turut disertai beberapa bot nelayan, sebelum mayat mangsa ditemui selepas kira-kira tiga jam pencarian dilakukan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
BH ONLINE