Malaysia hantar hospital medan ke Myanmar

REMBAU – Kerajaan akan menghantar hospital medan dan bantuan kemanusiaan termasuk pasukan perubatan ke Myanmar susulan gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher yang melanda negara itu, pada 28 Mac lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata negara berkenaan memerlukan bantuan kerana ramai rakyat negara itu yang cedera.

Katanya, Perdana Menteri meluluskan secara dasar untuk negara menghantar hospital medan ke Myanmar seperti mana pernah diberikan kepada Turkiye sebelum ini berdasarkan keperluan rakyat negara itu yang memerlukan kemudahan serta bahan perubatan.

“Selain itu bantuan perubatan, penduduk Myanmar juga memerlukan sistem menapis air yang pecah ketika bencana berkenaan dan menyebabkan bekalan air tiada ketika ini.

“Mereka juga memerlukan khemah penempatan sementara kerana penduduk negara itu yang terjejas bimbang untuk mendiami rumah yang telah rosak dan ada yang runtuh,” katanya kepada media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Luar dan Parlimen Rembau di Kampung Kanchong Rantau, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata kesan daripada bencana itu, 84 hospital di Myanmar runtuh dan rosak.

Beliau berkata, mereka yang terjejas dengan bencana itu memerlukan tempat atau bilik pembedahan bergerak untuk diuruskan pakar perubatan.

“Ini sedang diuruskan dan kita minta supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berpakat macam mana cara untuk kita menghantar (Hospital Medan) ke Myanmar, tapi kelulusan telah diberi oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang lalu.

“Kedua-dua pihak itu boleh mengenal pasti kaedah terbaik, namun segala kelengkapan perlu dibawa walaupun dalam keadaan sukar berikutan masalah bekalan air dan elektrik yang memerlukan pemulihan,” katanya.

Mohamad yakin dan percaya usaha memulihkan Myanmar akan mengambil masa 20 tahun, namun beliau berharap puak-puak yang bertentangan supaya mengambil peluang untuk sama-sama memikirkan dan membangunkan semula negara mereka.

“Saya sudah nyatakan bahawa kita (Malaysia) nak bantu mereka, tapi jika ada rakyat negara ini atau ASEAN yang terancam, mereka perlu hentikan tindakan itu (keganasan),” katanya.

Sabtu lalu, Mohamad yang mewakili Malaysia tiba di Myanmar bagi melaksanakan misi kemanusiaan bersama dengan pasukan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) menyerahkan barangan Sistem Logistik Kecemasan Bencana ASEAN (DELSA) kepada Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar.

BH ONLINE


Facebook Posts