Manarina Hasya syahid, dijemput Allah ketika menuntut ilmu – Bapa

SEGAMAT – “Arwah pergi sebagai syahid akhirat, dijemput Allah ketika sedang menuntut ilmu,” demikian kata Muhammad Karim Sulaiman, 51, bapa kepada Allahyarham Manarina Hasya Mohamad Karim, 22, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang maut dilanggar bas kelmarin.

Sambil mengaku sudah kering air mata mengenang pemergian anak sulungnya itu, bapa kepada empat anak itu berkata, dia akhirnya reda dengan ketentuan Allah untuk dirinya serta ahli keluarga.

“Sesiapapun tidak mahu kejadian ini berlaku namun takdir Allah kami reda dan menerima ketentuan Ilahi. Insya-Allah, Allah buat yang terbaik …apapun perancangan kita, lebih baik lagi perancangan dari Allah.

“Dari situlah hati saya terbuka dan reda semuanya yang berlaku. Kita tahu bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, jadi ini menjadi ujian untuk saya, kena terima seadanya,” katanya selepas pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak malam tadi.

Jenazah pelajar semester empat jurusan pemasaran selamat disemadikan pada jam 11.45 malam.

Dalam pada itu, Muhammad Karim mengakui dia perasan perubahan terhadap arwah ketika sambutan Aidilfitri namun tidak menyangka ia berakhir dengan peristiwa ini.

Menurutnya, Manarina Hasya adalah anak yang baik malah ketika Aidilfitri, arwah sangat rajin melakukan kerja rumah bukan seperti biasa.

“Aidilfitri baru-baru ini, kami ada nampak perubahan pada arwah, menolong ibu bapa tanpa disuruh tapi kita tak perasan, dia buat kerja sampai habis, biasa kalau disuruh dia agak memilih.

“Arwah tanya kami apa yang sepatutnya dia tolong untuk melakukan kerja di rumah dan akhirnya saya baru menyedari itulah yang terakhir daripada arwah,” katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah keluarganya akan mengambil tindakan undang-undang susulan insiden itu, Muhammad Karim berkata, dia menyerahkan sepenuh terhadap pihak universiti dan polis untuk menjalankan siasatan.

Tanpa mengambil tindakan terburu-buru, dia percaya pihak universiti dan polis akan menjalankan siasatan sebaik mungkin.

“Setakat ini pihak UUM ada siasatan tersendiri bersangkut paut dengan siasatan pihak polis, apa-apa keputusan bergantung kepada hasil siasatan kedua-dua pihak,” katanya.

BH ONLINE


Facebook Posts