
Sayidina Ali RA dilaporkan berkata:
Sekiranya tiada lima perkara pada manusia, maka semua mereka menjadi orang yang soleh, (iaitu):
1. Qanaah dengan kejahilan.
Huraian: Qanaah ertinya berasa cukup. Qanaah dengan kejahilan ialah berasa cukup dengan keadaannya yang jahil iaitu tidak tahu atau tiada pengetahuan.
2. Haloba terhadap dunia.
Huraian: Tamak haloba terhadap habuan dunia – hal ini banyak berlaku sama ada orang lain atau kita sendiri – sehinggakan halal dan haram tidak dipedulikan – dalam bentuk wang, harta alih atau tak alih, pangkat dan kedudukan, sehingga menghembus nafas terakhir dalam keadaan yang begitu, ertinya tanpa disedari keadaannya yang tamak terhadap keduniaan (segala hal yang bersifat keduniaan – tidak dapat dibawa mati). Di dunia, harta yang bukan haknya boleh saja menjadi haknya – ya…kerana dia ada kuasa, cakapnya didengari, tandatangan dan cop diturunkannya laku, misalnya, boleh ‘mencipta’ sistem, boleh mengubah sesuatu, mengikut selera dan kepentingannya atau golongan menyokongnya. Maka, menjawablah dia dan mereka dalam golongannya di alam pembalasan.
3. Bakhil dengan kelebihan.
Huraian: Bakhil atau kedekut, sama ertinya atau tangkai jering dan macam-macam lagi gelaran. Ini sikap tidak elok dan dibenci oleh agama dan masyarakat yakni orang sekeliling. Mengapa harus bakhil, sedangkan harta banyak lebih…untuk siapa? Wang banyak berbilion sekalipun, jika tidak dibelanjakan iaitu dibiarkan beku dan beranak di situ saja tanpa dimanfaatkannya tiada gunanya juga. Umpama anda ada 100 bilion, tapi anda tidak menggunakannya, sebaliknya mahu makan, mahu minum, anda tumpang makan dan minum percuma di rumah saudara-mara, rakan taulan atau tempat umum seperti masjid, malah rumah juga menumpang di mana-mana ikut tubuh berasa selesa, justeru apa guna dengan wang 100 bilion tanpa diusik itu. Sekadar untuk pastikan nama kekal di carta teratas Forbes dan kemudian mati meninggalkan nama orang terkaya dunia…begitu?
4. Riyak pada amalan.
Ah…ini penyakit yang sukar diubati, kadang-kadang kita tidak perasan yang kita ada penyakit ini, malahan sehingga berjangkit kepada masalah lain. Ambil contoh kita mengalunkan azan…kita mengalunkan dengan suara yang baik bukan? Jika kita bersuara sedemikian dengan niat kerana Allah, maka kita mendapat pahala, tetapi bagaimana sekiranya kita ada tujuan untuk menunjukkan kepada khalayak bahawa kita orang yang pandai azan, suara merdu, terbaik, tiptop…agak-agak dapat pahala tak? Bukankah tujuan itu sudah terpecah, pelaksanaannya terkandung tujuan ‘menunjuk’…niat kerana Allah sudah terpecah peratusannya, kerana manusia lain…tak begitu? Itu satu…yang keduanya berjangkit kepada masalah lain, iaitu masalah mengada-adakan dalam sebutan seperti menyebut baris mati pada huruf ‘Kaf’ dengan mengeluar bunyi angin di hujung sebutan seperti “akhbar”, sedangkan sepatutnya “akbar”. Mengada-adakan adalah suatu yang berbahaya dalam agama. Dalam bidang lain tidak mengapa. Jangan kita terikut-ikut rentak pengajian di bidang sains misalnya yang menekankan percubaan, ujikaji dan reka cipta, sehingga dalam hal agama pun kita buat begitu, ikut sedap kita, asal kita rasa bunyi sedap. Apa, ingat sebutan dan makhraj boleh buat macam bunyi angin booster keretakah?
5. Ajaib dengan akal.
Berasa ajaib atau berasa hebat dengan akal atau kecerdikan, pendapat (dan macam-macam berkaitan dengan akal). Bahasa mudah, berasa bijak ataupun maknanya boleh mencakupi dalam hal mendahulukan akal, idea dan logik. Hal ini boleh menempat dalam pelbagai dimensi. Sebagai contoh dalam pelaksanaan sesuatu peraturan atau sistem…lalu akal pantas mengatakan “ini boleh” …ya, kalau untuk kepentingannya atau kepentingan pihaknya…maka, boleh saja. Atau dalam dimensi lain “oh idea aku tu…bijok dok?
Orang Islam sepatutnya berasa ajaib, berasa hebat dengan ayat al-Quran, justeru semestinya mendahulukan al-Quran dalam setiap liku kehidupan…setiap sistem yang kita mahu laksanakan mesti selari dengan ayat al-Quran, melihat contoh-contoh ditunjukkan nabi dan sahabat atau tabiin. Sistem yang kita buat itu pula mesti ada roh iaitu rohnya ialah keadilan bukan kezaliman (aniaya), mendidik bukan menghukum, mensejahtera bukan mendukacita…barulah bangsa kita, negara kita berjaya…dan sistem yang kita buat itu hidup, sesuai, selesa untuk makhluk yang hidup terutama kita manusia, bukan selesanya terbatas untuk diri kita, keluarga kita atau parti kita sahaja, sebab diri kita hidup tak berapa lama saja…keluarga kita pula berapa ramai sangat bahkan dua tiga generasi kita pun dilupa…parti kita pun boleh berpecah-pecah, daripada biru kepada tak berapa nak biru, kepada merah garang, hijau kepada oren…contoh. Tak ke mana pun paksi pemikiran berkotak-kotak, tersekat-sekat pada batasnya. Memadailah agama yang membatasi hidup kita. Mari kita pupuk rasa persaudaraan sesama kita.