KUALA LUMPUR — Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengakui terkejut dengan peletakan jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung PN.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu tidak mengetahui alasan di sebalik peletakan jawatan oleh Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS.
“Sudah pasti saya terkejut, tapi yang lain saya tidak pasti.
“Saya tak tahu sebab saya baru saja dilantik pada Isnin hari itu, jadi saya tidak ada apa-apa maklumat.
“Yang itu kena tanya pada (Pengerusi PN) Tan Sri (Muhyiddin Yassin). Saya memang tidak ada maklumat kerana lagi pun saya baru dilantik dan kali pertama datang mesyuarat pada malam terbabit.
“Malam itu memang Yang Amat Berhormat (Ahmad Samsuri) tak ada, tak hadir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Rakyat hari ini.
Berita mengenai peletakan jawatan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebagai Bendahari Agung PN dilapor portal HarakahDaily malam tadi.
Pengumuman itu dibuat melalui satu kenyataan ringkas kepada barisan kepemimpinan PAS Pusat.
Dalam kenyataan itu, Ahmad Samsuri ada memaklumkan beliau sudah pun menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pihak pengurusan PN semalam.
BH ONLINE