KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mencadangkan agar Tun Tengku Maimun Tuan Mat dikenakan tindakan tegas berhubung kenyataannya yang tidak profesional sebagai Ketua Hakim Negara.
Mohamed Nazri berkata, Tengku Maimun mengeluarkan beberapa kenyataan yang bukan sahaja memalukan rakyat Malaysia di mata dunia, malah memberi imej buruk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu berkata, sebagai seorang Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihat seorang Perdana Menteri mencampuri urusan kehakiman negara.
Beliau menjelaskan, Tengku Maimun mungkin sudah melaksanakan tugas yang baik sebagai seorang Ketua Hakim Negara, tetapi akhirnya mengeluarkan kenyataan disifatkan mencemari pentadbiran cemerlang yang ditunjukkan Kerajaan MADANI.
“Dari segi profesionalisme, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan beliau, tetapi apabila beliau mengeluarkan kenyataan meminta tiada campur tangan Perdana Menteri dalam lantikan hakim tertinggi negara. Ini tidak sepatutnya berlaku.
“Saya melihat kenyataan yang dikeluarkan beliau sangat tidak profesional sebagai seorang Ketua Hakim Negara dan juga penjawat awam, lebih-lebih kenyataan itu dilakukan di luar negara dan mendapat perhatian oleh masyarakat dunia.
“Ini menunjukkan seolah-olah kita ini sebagai sebuah negara ‘koboi’ yang tidak menjalankan tugas mengikut undang-undang,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, Jemaah Menteri Kerajaan MADANI perlu mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun, termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat kenyataannya yang jelas cuba menjatuhkan imej Malaysia.
Katanya, ucapan Tengku Maimun pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta, baru-baru jelas memburukkan nama Malaysia.
“Apabila beliau menyebut syor kajian yang menyebut kuasa Perdana Menteri diasingkan dalam pelantikan itu, adakah itu dapatan sebenar yang diperoleh? Bagaimana satu kajian yang belum selesaikan didedahkan untuk pengetahuan masyarakat dunia, seolah-olah Perdana Menteri memang bertindak sedemikian.
“Saya tidak menolak syor daripada kajian itu sama ada daripada Majlis Peguam atau mana-mana pihak, tetapi sekiranya kajian itu belum tamat, ia tidak patut dibincangkan apatah lagi daripada seorang Ketua Hakim Negara. Seorang berprofil tinggi dalam negara seperti beliau seharusnya bercakap berdasarkan fakta semata-mata.
“Disebabkan itulah, saya meminta Kabinet negara mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun kerana apa yang dinyatakan beliau sememangnya tidak benar dan menuduh kerajaan mencampuri urusan perundangan negara,” katanya.
Mohamed Nazri mengatakan, ucapan Tengku Maimun juga satu bentuk campur tangan dalam prinsip pengasingan kuasa, iaitu cabang Kehakiman mencampuri urusan Legislatif dan Eksekutif kerajaan Malaysia.
“Apabila seruan seperti itu dibuat, pertimbangan untuk pindaan Perlembagaan perlu dilaksanakan dan seorang hakim mahupun Ketua Hakim Negara tidak boleh campur tangan apabila pindaan itu dilaksanakan. Sebaliknya, itu tugas ahli Parlimen yang bertanggungjawab untuk memperoleh keputusan dua pertiga (mendapat sokongan).
“Ketua Hakim ini dilihat cuba menceroboh hak legislatif dan eksekutif negara dan ia menjadi satu kesalahan besar dan memalukan negara apabila bercakap seperti sedemikian,” katanya.
BH ONLINE