TAWAU – Seorang remaja dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mendakwa digertak pegawai penyiasat ketika dirakam percakapan berhubung kes pukul yang menyebabkan kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac tahun lalu.
Saksi kedua pembelaan (DW2) itu dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao, mendakwa bahawa dia diugut akan ditumbuk jika tidak mengikut arahan diberikan.
Juhn Tao: Rujuk perenggan tujuh baris lima pernyataan saksi kamu: ‘Ketika rakaman percakapan dijalankan, saya juga dipaksa membuat pengakuan memukul si mati, dalam kertas A4.’ Adakah ini betul?
DW2 : Ya betul.
Juhn Tao: Seterusnya di perenggan tujuh, kamu ada cakap: ‘Jika saya tidak mengikut pegawai yang merakam percakapan saya, mengugut akan tumbuk saya. Saya berasa takut lalu ikut arahannya.’
Dalam kertas A4, kamu cakap kamu tidak memukul si mati tetapi di perenggan tujuh, kamu cakap kamu dipaksa membuat pengakuan bahawa kamu memukul si mati, dalam kertas.
Mengapa kamu membuat pengakuan di hadapan polis sedangkan kamu cakap kamu tidak memukul si mati?
DW2 : Mereka menggertak.
Juhn Tao: Apa yang mereka gertak?
DW2: Kalau saya tidak cakap, dia orang tumbuk.
Juhn Tao: Siapa dia orang?
DW2: Pegawai yang menyiasat saya.
Juhn Tao: Adakah pegawai itu tumbuk kamu?
DW2: Hampir.
Dalam pada itu, saksi yang juga tertuduh ketujuh berkenaan menafikan dirinya terbabit kejadian memukul mangsa.
Dalam keterangan saksinya, dia mendakwa melihat mangsa berada di tengah bilik asrama 5 Belian sambil dikelilingi ramai pelajar lain kira-kira jam 9.30 malam 21 Mac lalu.
Dia mendakwa ketika itu, dirinya berdiri berdekatan pintu bilik 5 Belian dan melihat seorang yang ‘berbadan besar’ tiba-tiba menendang mangsa sebelum diikuti pelajar lain.
Menjawab soalan peguam, Datuk Ram Singh, sama ada dia boleh mengecam individu dimaksudkan ‘berbadan besar’ itu pula, remaja terbabit berkata: ‘Mungkin boleh.’
Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan Juhn Tao, bahawa individu berbadan besar yang dirujuknya itu adalah saksi ke-19 pendakwaan (PW19).
Juhn Tao : Kamu tidak ada menyatakan dalam keterangan saksi atau keterangan tambahan kamu ketika pemeriksaan utama bahawa orang yang berbadan besar itu adalah PW19, setuju?
DW2: Setuju.
Juhn Tao: Kalau benar PW19 adalah orang berbadan besar yang menendang ke arah Ijat (Mohamad Nazmie Aizzat) di dalam Dorm 5 Belian, kamu sepatutnya menyatakan dalam pernyataan saksi kamu dan bukannya tunggu sampai disoal balas oleh peguam lain, setuju?
DW2 : Tidak setuju.
Prosiding bela diri peringkat pembelaan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.
BH ONLINE