MELAKA – Seorang pelajar Tingkat Dua sebuah sekolah menengah di sini, meninggal dunia selepas pengsan berhampiran padang ketika berjalan ke kantin pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika waktu rehat.
Katanya, sebelum kejadian, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu mengikuti kelas pendidikan jasmani sukan bola tampar.
“Hasil siasatan awal, mangsa dikatakan berjalan ke kantin sebelum tiba-tiba pengsan berhampiran padang sekolah.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Bantuan pernafasan (CPR) diberikan selama 30 minit, namun tiada sebarang tanda positif sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya,” katanya kepada pemberita malam ini.
Christopher berkata, mangsa adalah seorang atlet yang sangat aktif dalam sukan bola tampar sekolah.
“Punca kematian mangsa setakat ini adalah ‘Pending Laboratory Investigations’ (menunggu laporan lengkap makmal).
“Namun, kematiannya disahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
BH ONLINE