ALOR SETAR – Dua pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan meragut nyawa pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhammad Karim, sudah diambil keterangan polis berhubung insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, berkata kedua-dua pemandu berusia 32 dan 37 tahun itu dibebaskan selepas keterangan diambil.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu bas berusia 32 tahun yang melanggar belakang sebuah lagi bas itu didapati negatif.
“Pemandu terbabit hanya mengaku tidak perasan bas di hadapannya ketika kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai hasil laporan bedah siasat, Mohd Radzi berkata, Manarina Hasya, 22, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan lebam pada jantung (cardiac contusion) yang berpunca daripada hentakan kenderaan.
Katanya, ia hasil laporan bedah siasat yang dilakukan terhadap mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Manarina Hasya meninggal dunia pada jam 6.30 petang semalam akibat kecederaan parah di badan ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Johor dengan van jenazah Pusat Islam UUM pada jam 1.15 tengah hari tadi, sejurus selepas bedah siasat selesai dilakukan di HSB.
BH ONLINE