KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang penasihat agensi pelancongan kerana disyaki mencederakan seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham, dekat Saujana Impian, Kajang di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata laporan polis berhubung kejadian itu diterima jam 9.24 malam tadi.
Beliau berkata, pengadu adalah seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul seorang lelaki tidak dikenali berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya.
“Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku jam 2.15 petang akibat perselisihan faham ketika kedua-dua individu berkenaan sedang memandu di kawasan Saujana.
“Akibat kejadian itu, remaja lelaki terbabit mengalami kecederaan retak tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
“Siasatan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan tindakan saman trafik,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Berikutan aduan pengadu, Naazron berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun jam 9.50 malam tadi bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor E N Chalart Cinda di talian 017-9825510 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 34 saat memaparkan seorang pelajar lelaki berlumuran darah di bahagian hidung di dalam sebuah kereta selepas dipercayai dipukul oleh seorang individu.
BH ONLINE