PETALING JAYA – Pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, akan meminta penjelasan daripada Mahkamah Majistret di sini berhubung permohonan mendapatkan carian minit prosiding reman yang didakwa ditolak oleh ‘pihak atasan’.
Pada prosiding di Mahkamah Sesyen, hari ini, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, memberitahu bahawa beliau sudah memohon kepada Mahkamah Majistret supaya dibekalkan minit prosiding reman kedua-dua tertuduh untuk memudahkan pihaknya menyoal balas pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, yang dijangkakan pada 21 April ini.
“Bagaimanapun, amat mengejutkan dan mengecewakan… kami menerima jawapan ‘pihak atasan’ ada bagi arahan supaya minit prosiding reman ini tidak akan dibekalkan.
“Ini boleh menyebabkan anak guam saya tidak menerima perbicaraan yang adil, dan ini adalah ‘public document’,” katanya.
Sementara itu, Haresh ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihaknya membuat permohonan berkenaan secara rasmi pada 18 Februari lalu.
“Namun, kita mendapat jawapan balas daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada jam 4.25 petang 19 Februari lalu bahawa arahan daripada ‘pihak atasan’ ialah carian minit prosiding reman tidak akan dibekalkan… siapa ‘pihak atasan’ yang dimaksudkan?” dakwanya.
Perbicaraan selama 16 hari bermula 4 Februari lalu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh, dengan pendakwaan sudah memanggil 27 saksi, setakat hari ini, manakala Mohd Hafizee dijangka menjadi saksi terakhir dipanggil nanti.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan berusia enam tahun (ketika kejadian), didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen sama antara jam 12 tengah hari 5 Disember dan jam 9.55 malam 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
BH ONLINE