
BAGHDAD – Penasihat keselamatan negara Iraq berkata pihak berkuasa sedang giat mencari Elizabeth Tsurkov, seorang ahli akademik Rusia Israel yang diculik hampir dua tahun lalu di Baghdad.
Tsurkov, pelajar kedoktoran di Princeton University dan felo di New Lines Institute for Strategy and Policy, hilang di Iraq sejak Mac 2023.
Pihak berkuasa Israel kemudian berkata dia telah diculik, menyalahkan kumpulan pro-Iran atas kehilangannya.
Penasihat Keselamatan Negara Qassem Al-Araji berkata “pihak berkuasa Iraq bekerja di bawah arahan perdana menteri” untuk menyelesaikan isu itu.
“Perkhidmatan keselamatan digerakkan untuk mengesannya dan mencari kumpulan yang menculiknya,” katanya, sambil menambah tiada tuntutan bertanggungjawab ke atas penculikannya atau tuntutan pembebasannya.
“Kami perlu beroperasi secara berhati-hati dan melalui perantara” untuk mengesannya, katanya.
Tsurkov, yang mungkin memasuki Iraq menggunakan pasport Rusia, mengembara ke negara itu sebagai sebahagian daripada pengajian kedoktorannya.
Sumber keselamatan Iraq memberitahu AFP bahawa pengembaraan terakhir itu bukanlah kunjungan pertama Tsurkov ke Iraq.
Pada November 2023, saluran Iraq Al Rabiaa TV menyiarkan video tebusan pertama mengenai Tsurkov yang diketahui umum sejak penculikannya.
AFP tidak dapat mengesahkan rakaman itu secara bebas atau menentukan sama ada kenyataannya dipaksa.
Dalam video itu, Tsurkov menyebut perang antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza.
Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menuduh Kataeb Hezbollah Iraq menahannya, tetapi puak bersenjata itu telah membayangkan ia tidak terlibat dalam kehilangannya.
AN