PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu hasil siasatan pihak berkuasa mendapati dana berjumlah AS$1 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipindahkan ke dalam akaun sebuah syarikat luar pesisir, tidak mendapat kebenaran Lembaga Pengarah syarikat pelaburan strategik negara itu.
Dana itu sepatutnya dilaburkan 1MDB bagi usaha sama dengan syarikat penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi, PetroSaudi International Ltd, (JVCo) 1MDB-PSI, bagaimanapun AS$700 juta dipindahkan ke akaun Good Star Ltd, iaitu syarikat luar pesisir yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Usaha sama itu bagaimanapun tidak dimasuki dengan PSI, sebaliknya melalui syarikat samaran, iaitu PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd di mana Ketua Eksekutif PSI, Tarek Obaid yang juga kenalan Jho Low, melaksanakan perjanjian bagi mewakili PetroSaudi Holdings.
Saksi ke-11 pembelaan yang juga bekas Senior Asisten Komisioner (SAC), R Rajagopal, memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan siasatannya, tiada arahan dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah 1MDB supaya dana berkenaan dimasukkan ke dalam akaun syarikat Good Star.
Rajagopal yang menjawab soalan peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, berkata hasil siasatan mendapati ia juga bertentangan dengan keputusan Lembaga Pengarah.
“Tiada arahan daripada Lembaga Pengarah (1MDB) supaya AS$700 juta masuk ke akaun Good Star.
“Siasatan saya menunjukkan penghantaran wang ke Good Star bertentangan dengan keputusan Lembaga Pengarah,” katanya.
Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 2019, bukti lisan dan dokumen telah dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan bahawa entiti luar pesisir itu pada satu ketika telah dikatakan sebagai anak syarikat PSI.
Menurut pasukan pembelaan Najib, bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu tidak mempunyai pengetahuan atau pembabitan dalam salah laku di 1MDB, dan penyelewengan didalangi oleh Jho Low serta ahli pengurusan syarikat itu.
Pada perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Mohd Bakke Salleh, tidak berpuas hati dengan pembayaran AS$700 juta ke akaun Good Star.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang memberi keterangan ketika itu, berkata beliau melaporkan status terkini usaha sama itu di mana 1MDB membayar sahamnya sebanyak AS$1 bilion dalam dua transaksi berbeza, masing-masing AS$700 juta ke akaun Good Star dan AS$300 juta ke akaun JVCo.
Shahrol Azral berkata, Bakke mempersoalkan tindakan itu dan meminta justifikasi mengapa AS$1 bilion tidak dimasukkan ke akaun JVCo, dan beliau menjelaskan seperti dimaklumkan Jho Low, iaitu akaun Good Star adalah milik PSI dan bayaran itu adalah untuk pendahuluan dari pihak PSI ke JVCo.
Mahkamah juga sebelum ini diberitahu bahawa tiada seorang pun daripada Ahli Lembaga Pengarah 1MDB mengetahui wang AS$700 juta dipindahkan ke akaun sebuah syarikat yang dimiliki Jho Low.
Perjanjian usaha sama JvCo 1MDB-PSI telah meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta yang berpunca daripada pindahan dana berkenaan.
Najib sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung 24 Mac ini.
BH ONLINE