KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri Pahang terus memperkemas dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Baginda bertitah, kerajaan negeri perlu bergerak ke hadapan dengan sistem pentadbiran yang lebih efisien, tersusun dan responsif bukan semata-mata memenuhi prosedur tetapi menjawab keperluan sebenar rakyat.
Titah baginda, ini kerana rakyat menilai kerajaan bukan pada kata-kata tetapi pada tindakan, penyelesaian dan hasil kerja.
“Saya juga mengambil maklum akan suara rakyat, pemaju dan pelabur yang melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan dalam proses kelulusan projek serta permohonan tanah yang sering terhalang oleh karenah birokrasi yang Panjang.
“Maka saya mahu perkara ini dikaji dengan serius dan ditangani dengan segera. Birokrasi yang cermat adalah penting tetapi birokrasi yang membelenggu adalah beban yang harus dileraikan.
“Pahang tidak boleh bergerak maju jika kita masih terikat dengan sistem lapuk yang melemahkan daya saing.
“Oleh itu saya ingin melihat satu perubahan yang drastik dalam pendekatan pentadbiran kali ini daripada menunggu kepada mendahului, daripada beralasan kepada menyelesaikan dan daripada melindungi kelemahan kepada memperjuangkan penambahbaikan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Nazri Abu Bakar dan Pegawai Kewangan Pahang, Datuk Fazdilla Salleh di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Terlebih dahulu, baginda merakamkan ucapan tahniah kepada Nazri atas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu danDatuk Fadzilla sebagai Pegawai Kewangan Pahang baharu.
“Sesungguhnya pelantikan ni bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi keikhlasan dan tanggungjawab.
“Pada masa sama, pelantikan ini tidak dilihat sebagai keistimewaan semata-mata tetapi sebagai satu tanggungjawab yang besar dan mulia.
“Kedudukan yang disandang adalah lambang kepercayaan bukan sahaja daripada pihak pentadbiran negeri tetapi juga daripada rakyat jelata yang meletakkan harapan tinggi kepada kewibawaan dan kebijaksanaan pemimpin negeri ini.
“Jadilah pemimpin yang bukan sahaja cekap dan berilmu tetapi juga berjiwa besar, rendah hati dan menjunjung tinggi nilai integriti dalam setiap tindakan.
“Berbaktilah dengan jujur, bertindaklah dengan adil dan sentiasalah meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi segala yang lain,” titah baginda.
BH ONLINE