MELAKA – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki cuba menyamun dan merogol pekerja spa di sebuah premis di Taman Bachang Utama di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata suspek ditahan di sebuah rumah pangsa di Taman Merdeka tengah malam tadi oleh sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bersama anggota Task Force Balai Polis (BP) Batu Berendam susulan laporan dibuat mangsa.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, suspek datang ke spa itu dan bertanyakan mengenai pakej rawatan untuk rakan wanitanya yang didakwa dalam perjalanan ke premis itu.
“Selepas diberitahu mengenai rawatan disediakan, suspek masuk ke dalam spa sebelum bertindak menutup mulut mangsa wanita itu dengan tangan dan menariknya ke bilik rawatan.
“Suspek meminta wang dengan memegang tangan mangsa dan kemudian menolaknya ke lantai sebelum cuba untuk merogol. Namun, mangsa menjerit meminta tolong menyebabkan lelaki itu melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, susulan penahanan itu polis merampas topi keledar, kunci motosikal dan motosikal yang dilaporkan hilang daripada suspek yang direman tujuh hari bermula hari ini.
“Hasil soal siasat suspek mengaku terbabit kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 376/511 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.
BH ONLINE