JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang remaja lelaki yang dipercayai memuat naik dan menjual gambar lucah hasil suntingan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam talian.
Suspek berusia 16 tahun dan masih bersekolah itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sekitar Kulai, kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata laporan dibuat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun pada 3 April lalu yang mendakwa ada gambar lucah disunting menggunakan wajahnya tular di media sosial.
“Mangsa mendapati gambar lucah itu turut cuba dijual dalam talian.
“Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar mangsa suspek ke laman sosial bagi tujuan jualan.
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh gambar mangsa daripada akaun media sosial sebelum menyuntingnya menggunakan aplikasi AI.
“Gambar berkenaan dipercayai dijual pada harga RM2 sekeping,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kumar berkata, pihaknya menerima lapan laporan lain membabitkan kes dan suspek sama.
“Mangsa terjejas disaran tampil membuat laporan di balai polis berdekatan dan sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Huda Shohodin di talian 013-5382698,” katanya.
BH ONLINE