MUAR — Seorang lelaki warga Kemboja dihukum penjara 25 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merogol anak kandungnya berusia 13 tahun sehingga hamil empat bulan.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman berkenaan selepas bapa berusia 38 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Batu Pahat antara jam 3 hingga 4 pagi Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.
Selain hukuman penjara dan sebat, mahkamah juga memerintahkan tertuduh untuk menjalani sesi kaunseling ketika dalam penjara serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik saja selesai hukuman, selari dengan Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Saya kesal terhadap apa yang dilakukan. Saya minta maaf,” kata tertuduh dalam rayuannya di hadapan hakim.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bahawa seorang pesakit bawah umur didapati hamil ketika menerima rawatan.
Hasil siasatan polis mendapati terdahulu mangsa mengalami sakit perut sebelum tertuduh membawanya untuk menjalani pemeriksaan di HSNI.
Berdasarkan hasil siasatan, mangsa dipercayai dirogol bapanya sejak berusia sembilan tahun dengan kali terakhir kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di dalam bilik pada Ogos lalu.
Sejak itu, tertuduh dikatakan berhenti melakukan perbuatan terkutuk berkenaan selepas mangsa kerap muntah dan sakit perut.
Mangsa turut mendakwa bahawa dia dirogol antara empat hingga lima kali seminggu tanpa menceritakan kejadian kepada sesiapa sebelum itu.
Tertuduh yang juga pemegang kad pengenalan sementara, dilaporkan berkahwin dengan seorang wanita warga tempatan tetapi hidup berjauhan kerana isterinya bekerja dan menetap di Australia sejak tujuh tahun lalu.
Susulan laporan diterima daripada HSNI, polis menahan tertuduh di rumahnya kira-kira jam 4 pagi 17 Disember lalu untuk membantu siasatan.
BH ONLINE