HULU SELANGOR – Seorang maut manakala empat cedera dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 403 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) antara Tanjung Malim dan Lembah Beringin, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.27 tengah hari dan sepasukan 21 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu serta Tanjung Malim dikerahkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah treler, lori tiga tan dan kereta jenis Toyota. Tiada mangsa yang tersepit dalam kejadian itu.
“Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang berada dalam lori tiga tan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, dalam kenderaan sama, seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun parah.
Beliau berkata, pemandu treler yang juga lelaki berusia 26 tahun dan dua lagi lelaki berusia 52 serta 18 tahun dalam kereta Toyota, masing-masing cedera ringan.
“Mangsa yang maut diserahkan kepada KKM dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
BH ONLINE