KUALA LUMPUR – Tiga selebriti termasuk seorang penyanyi terkenal bakal dipanggil memberi keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pada minggu ini.
BH difahamkan, siasatan itu akan dilakukan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).
Sumber turut mengesahkan, selain penyanyi terkenal, seorang ikon inspirasi juga akan dipanggil berhubung siasatan Ops Sky yang dijalankan bersama Bank Negara (BNM).
Semalam, BH melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa selebriti termasuk artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Katanya, daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti-selebriti ini menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.
Azam juga berkata, SPRM turut mengesan terdapat bayaran turut dibuat untuk tajaan konsert dan gubahan lagu khas bagi pihak sindiket itu.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh AML dalam Ops Sky hasil kerjasama BNM.BH difahamkan, selebriti-selebriti ini dibayar hingga ratusan ribu ringgit sebagai wajah untuk meyakinkan orang ramai bagi menggunakan perkhidmatan mereka.
Melalui Ops Sky juga, SPRM mendedahkan sejumlah RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket yang kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan bank-bank pada satu masa.
Sejak tiga minggu lalu, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti yang dikaitkan itu akan dipanggil oleh pegawai penyiasat minggu ini.
Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan tarikh sebenar kesemua mereka akan dipanggil.
“Ya benar mereka akan dipanggil minggu ini dan beberapa daripadanya sudah mengeluarkan kenyataan,” katanya yang tidak memaklumkan siapa tiga selebriti yang sedang disiasat itu.
BH ONLINE