Trump berkata AS melakukan serangan udara ke atas Islamic State di Somalia

WASHINGTON – Tentera AS melakukan serangan udara di Somalia pada Sabtu menyasarkan perancang serangan kanan Islamic State dan anggota kumpulan militan yang lain, membunuh ramai daripada mereka, kata Presiden Donald Trump.

“Pembunuh ini, yang kami temui bersembunyi di dalam gua, mengancam Amerika Syarikat dan sekutu kami,” kata Trump dalam catatan di Truth Social.

“Serangan itu memusnahkan gua yang mereka diami, dan membunuh ramai pengganas tanpa, dalam apa cara sekalipun, mencederakan orang awam.”

Serangan Sabtu dilakukan di Pergunungan Golis dan penilaian awal menunjukkan ramai militan terbunuh, kata Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth. Tiada orang awam yang cedera, katanya.

Reuters tidak dapat mengesahkan butiran tersebut secara bebas.

Pejabat presiden Somalia berkata, Presiden Hassan Sheikh Mohamud dimaklumkan mengenai serangan udara yang dikatakan berlaku di utara Somalia.

Mohamud “mengakui sokongan tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat dalam memerangi keganasan antarabangsa,” kata pejabatnya di platform X.

“Operasi terbaru ini mengukuhkan perkongsian keselamatan kukuh antara Somalia dan Amerika Syarikat dalam memerangi ancaman pelampau,” katanya.

Seorang pegawai di pejabat presiden Somalia, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata kerajaannya mengalu-alukan langkah itu.

“Somalia tidak boleh menjadi tempat selamat untuk pengganas,” kata pegawai itu sambil menambah bahawa kesan serangan itu masih dinilai.

Hegseth berkata, serangan itu merendahkan keupayaan Islamic State untuk merancang dan melakukan serangan pengganas yang mengancam Amerika Syarikat, rakan kongsinya dan orang awam yang tidak bersalah.

“(Ia) menghantar isyarat jelas bahawa Amerika Syarikat sentiasa bersedia untuk mencari dan menghapuskan pengganas yang mengancam Amerika Syarikat dan sekutu kami, walaupun ketika kami menjalankan perlindungan sempadan yang teguh dan banyak operasi lain di bawah kepimpinan Presiden Trump,” katanya dalam satu kenyataan.

Amerika Syarikat secara berkala melakukan serangan udara di Somalia selama bertahun-tahun, di bawah pentadbiran Republikan dan Demokrat.

REUTERS