KULAI – Seorang wanita maut, manakala suaminya dan dua anak mereka termasuk bayi berusia empat bulan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 39.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima makluman dari Bilik Gerakan IPD Kulai berkaitan kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan Proton Persona.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Produa Myvi yang dipandu lelaki tempatan berumur 30 tahun bersama isteri, 29 tahun dan dua anak mereka berumur empat tahun dan empat bulan hilang kawalan ketika berada di lorong kiri.
“Kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berumur 32 tahun yang berada di lorong kanan.
“Pelanggaran menyebabkan Perodua Myvi terbalik dan terbabas ke lorong kecemasan.
“Kemalangan itu menyebabkan penumpang Perodua Myvi wanita berumur 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Seng Lee, pemandu dan dua anaknya dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BH ONLINE