JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas yang mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Taman Molek di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, suspek berusia 63 tahun dilaporkan terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah polis yang menahannya untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang melakukan rondaan membabitkan dua kenderaan polis.
Beliau berkata, anggota polis mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario ditunggang seorang lelaki di kawasan Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek dalam keadaan mencurigakan.
“Polis kemudian mengekori dan berjaya menahan motosikal itu dan ketika hendak turun untuk memeriksa, secara tiba-tiba suspek melepaskan beberapa das tembakan.
“Anggota polis berbalas tembakan dengan suspek menyebabkan lelaki itu maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, polis menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson di atas jalan berhampiran suspek serta empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru di lokasi sama.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah, termasuk satu rekod di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu rekod bawah Akta Senjata 1960 dan satu rekod masih dikehendaki polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api dalam melakukan kesalahan berjadual,” katanya.
BH ONLINE