PASIR MAS – Seorang pembantu jurujual warga Indonesia dipenjara lima tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki video pornografi seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, 10 Mac lalu.
Tertuduh, Depison Ahlan, 25, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkipli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meminta video pornografi seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di antara 1 tengah hari hingga 2.30 petang, 10 Mac 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan tidak kurang tiga sebatan.
Mengikut fakta kes, disebabkan pengadu melihat anaknya berkelakuan pelik sejak kebelakangan ini seperti berkurung dalam bilik, dia merampas telefon bimbit anak perempuannya.
Pengadu dapati satu penama mengugut anaknya dengan menghantar video bogel milik mangsa yang juga anak tunggalnya. Tertuduh memaksa mangsa menjawab panggilan video dan mengugut akan menularkan video bogel mangsa sekiranya tidak menjawab panggilan itu.
Mangsa memaklumkan kenal tertuduh menerusi permainan ‘Mobile Legend’ dan mereka bertukar nombor telefon. Mangsa memaklumkan tertuduh meminta video bogel sambil melakukan aksi lucah sekiranya tidak mahu nombor telefon mangsa disebarkan, di antara jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang pada 10 Mac 2025.
Tertuduh ditangkap pada 27 Mac lalu di Terminal bas Meru Raya, Ipoh, Perak. Pemeriksaan ke atas akaun WhatsApp tertuduh di bahagian arkib mendapati terdapat 59 video lucah termasuk video bogel milik mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon hukuman berat untuk memberi pengajaran dan mangsa masih muda.
BH ONLINE