1 maut apabila puting beliung melanda selatan AS

HOUSTON – Sekurang-kurangnya seorang maut selepas beberapa ribut puting beliung dan ribut teruk melanda kawasan metropolitan Greater Houston di Texas dan beberapa negeri di selatan AS pada petang Sabtu, kata pihak berkuasa.

Di Daerah Brazoria, kira-kira 45 batu (72.4 km) selatan Houston, Pejabat Syerif mengesahkan satu kematian dan empat cedera.

Di Montgomery County di utara Houston, dua orang lagi dimasukkan ke hospital akibat kecederaan, kata Timbalan Ketua Staf Jason Smith kepada CBS News.

Puting beliung berganda melanda pinggir bandar Houston pada Sabtu, merosakkan berpuluh-puluh rumah dan menumbangkan talian elektrik dan pokok, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) AS.

Dari Houston ke Dallas, beratus-ratus penerbangan telah dibatalkan atau ditangguhkan di lapangan terbang Texas kerana ribut yang teruk.

Selain Texas, Arkansas, Louisiana dan Mississippi juga diletakkan di bawah permerhatian puting beliung oleh NWS, yang dinaik taraf kepada “situasi sangat berbahaya” yang jarang berlaku.

Di barat daya Mississippi, puting beliung besar mendarat di barat Brookhaven, meninggalkan serpihan besar dan kecederaan, menurut laporan tempatan.

Sekurang-kurangnya seorang terperangkap dalam sebuah rumah apabila pokok tumbang di atasnya semasa puting beliung, tambahnya.

Di seberang timur Louisiana, angin kencang menumbangkan pokok dan talian elektrik, dengan kelajuan tertinggi mencecah 81 mph (130.35 km/j) pada petang Sabtu.

Ancaman ribut yang teruk itu dijangka menjadi lemah pada Ahad, apabila ia merebak ke Tenggara, Pantai Timur dan sebahagian daripada Mid-Atlantic, kata laporan CNN, sambil menambah bahawa 2024 telah menyaksikan 1,783 laporan puting beliung di seluruh Amerika Syarikat (AS) setakat Jumaat.

XINHUA