KINARUT – Sebanyak 17 rumah musnah dalam kebakaran di Skim Penempatan Kinarut, di sini malam tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu selepas semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Muhammad Taqiuddin Victor Doon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.22 malam.
Katanya, 39 pegawai dan anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Papar, dibantu BBP Penampang, Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan 17 rumah yang terbakar sepenuhnya. Operasi pemadaman menggunakan lima pancutan dengan sumber air dari jentera,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.25 tengah malam dengan pperasi pemadaman dijalankan dengan pantas bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kediaman berhampiran.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.06 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity.
BH ONLINE