TAWAU — Dua budak lelaki, masing-masing berusia 13 dan 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan secara berkumpulan, minggu lalu.
Mereka didakwa di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Tawau, Mohd Afiz Huzairi Ayob, mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Dua kanak-kanak berkenaan didakwa merogol budak perempuan berumur 12 tahun di sebuah kebun di belakang rumah tidak bernombor di daerah ini, kira-kira jam 9.40 malam 26 September lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-kedua tertuduh yang tidak diwakili peguam. Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan.
Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
BH ONLINE