KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, di sini, ditahan selepas dikesan berada di bawah pengaruh dadah.
Mereka ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira jam 4 petang semalam hasil maklumat risikan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, hasil serbuan itu 19 wanita serta 36 lelaki termasuk warga negara asing berusia antara 22 hingga 51 tahun ditahan.
Hasil pemeriksaan, katanya polis turut merampas dadah jenis ketamin seberat 12.20 gram daripada seorang lelaki, selain pil eramin 5 seberat 0.59 gram dalam milikan pengunjung wanita.
“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sebelum ujian saringan air kencing mendapati 25 lelaki dan 17 wanita positif dadah.
“Semua yang ditahan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya melalui kenyataan.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan penahanan dua anggota polis dalam serbuan sama, namun dadah yang dirampas bukan milik mereka.
Terdahulu, media melaporkan mengenai dua anggota polis ditahan selepas didapati positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat karaoke di Jalan Loke Yew, dengan Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad memaklumkan kertas siasatan tatatertib selari akan dibuka terhadap penjawat awam berkenaan.
BH ONLINE