KULIM – Dua remaja lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung lori ayam di Jalan Paya Besar berhampiran Taman Kucai di Lunas, dekat sini awal pagi tadi.
Nahas membabitkan dua remaja berusia 16 dan 17 tahun dari Taman Kucai itu dilaporkan kepada polis kira-kira jam 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata kedua-dua mangsa, masing-masing pelajar sebuah sekolah menengah di sini dan seorang lagi tidak bersekolah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai apabila dua remaja itu menaiki motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari arah Taman Kucai menghala ke Taman Sawi.
“Motosikal mereka dikatakan keluar dari simpang memasuki laluan utama dari arah bertentangan menyebabkan sebuah lori ayam jenis Isuzu yang datang dari arah Alma menghala ke Baling tidak sempat mengelak lalu bertembung motosikal mangsa.
“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas terjatuh dan terseret atas jalan. Pemandu lori berusia 31 tahun dan kelindan berusia 30 tahun tidak cedera dan ujian saringan air kencing terhadap mereka didapati negatif,” katanya, di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
BH ONLINE