Tokoh sufi Maulana Jalaluddin Rumi yang terkenal dengan mutiara katanya dipetik sebagai berkata: “Manusia di dunia ini tidak melihat kepada diri mereka. Jadi, menyebabkan mereka menyalahkan antara satu sama lain.”
Satu punca manusia tertekan, berasa cemas dan tidak tenteram ialah sikap mereka yang suka menyalahkan orang lain. Tidak mengaku kelemahan atau kesalahan dilakukan melainkan selepas terhimpit atau tiada jalan keluar.
Malah sesetengahnya mereka-reka atau mengada-adakan cerita ataupun mencari sisi yang boleh menyalahkan, mengaibkan dan menjatuhkan orang lain. Lidah misalnya, pantas mengata konon si dia berdusta serta sengaja membuat angkara.
Kita boleh perhatikan perkara ini dalam pelbagai situasi. Di jalan raya sebagai contoh, apabila berlaku kemalangan, masing-masing menuding jari ke arah satu sama lain. Tiada yang mahu mengaku dan meminta maaf. Sungguh naif sikap manusia pada zaman moden ini.
Islam tidak menganjurkan umatnya sikap suka menyalahkan orang, mencari aib dan mengambil kesempatan atas kelemahan mereka, curiga tanpa asas dan mengatakan sesuatu yang dusta. Dukacita sekiranya kita terus cenderung kepada tingkah laku seperti itu.
Jadi, apa yang Islam ajar apabila menghadapi sesuatu hal? Antaranya seperti berikut:
1. Tenang dan wibawa
Hadapi sesuatu itu dengan tenang. Jangan sampai hilang punca dan cepat mengata orang. Sebabnya, apabila saling mengata, hal yang kecil boleh menjadi rumit.
“Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)
2. Kuasai diri
Jangan cepat melenting dan bertindak balas terhadap orang lain, sebaliknya kawal diri dan bersabar. Fahami hal dihadapi sebaik-baiknya. Bukankah berfikir sejenak itu lebih baik daripada bertindak melulu?
Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Orang yang kuat itu bukanlah yang menang berlawan. Sesungguhnya orang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)
3. Tidak angkuh dan tidak cepat berasa lebih baik
Sifat angkuh atau berasa diri lebih baik, mulia dan hebat adalah sifat Iblis. Manusia sepatutnya bebas daripada sifat itu. Mereka harus memupuk sikap hormat antara satu sama lain tanpa mengira jantina, usia dan bangsa.
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, ayat 18)
Firman-Nya pada surah an-Najm, ayat 32 bermaksud: “…maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah saja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.”
4. Cermat dalam membuat bantahan
Sekiranya perlu, bantahlah dengan cara yang baik. Jangan sampai bertegang leher dan berseteru disebabkan hal tidak sepatutnya. “Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
5. Memaafkan orang lain
Jika sudah pasti orang lain salah dan mereka meminta maaf daripada anda, maafkanlah. Sedarlah, tiada manusia sunyi daripada kesalahan dan perbuatan memaafkan itu adalah sikap terpuji.
Firman-Nya pada surah asy-Syura, ayat 43 bermaksud: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”