SEREMBAN – Seorang pemandu lori didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyentuh punggung seorang wanita sebanyak dua kali, Selasa lalu.
Majistret Nurul Saqinah Rosli turut memerintahkan, P Ghanapathy, 23, dipenjara lima bulan jika gagal bayar denda selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 29 tahun dengan mencabul kehormatan iaitu dengan menyentuh punggung sebanyak dua kali.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan jalan masuk sebuah stesen minyak di Jalan Rasah, kira-kira jam 8.30 malam Selasa lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dua daripadanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi memohon mahkamah menjatuhkam hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatan itu menyebabkan mangsa mengalami trauma.
Tertuduh yang diwakili Peguam P A Krishnaveni dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman denda minimum kerana ini adalah kesalahan pertama tertuduh, berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung ibu bapa.
BH ONLINE