
DAMSYIK – Media negara Syria melaporkan beberapa serangan udara Israel di wilayah selatan, Daraa pada malam Isnin.
Sejak penggulingan presiden Bashar al-Assad pada Disember, Israel telah melakukan ratusan serangan udara di Syria.
“Pesawat pendudukan Israel melakukan beberapa serangan di sekitar pekan Jbab dan Izraa di utara Daraa,” kata agensi berita negara, SANA.
Kebanyakan serangan Israel sejak kejatuhan Assad menyasarkan kemudahan dan senjata dipegang oleh tentera kerajaan digulingkan dalam apa yang Israel katakan sebagai usaha untuk menghalang aset itu daripada jatuh ke tangan musuh.
Menurut pemerhati Syria, pesawat Israel melakukan 17 serangan pada malam Isnin, menyasarkan beberapa kedudukan bekas tentera Syria, termasuk platform pemerhatian dan kereta kebal.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata bulan lalu bahawa selatan Syria mesti dimusnahkan sepenuhnya, memberi amaran yang kerajaannya tidak akan menerima kehadiran tentera kerajaan baru pimpinan Islamis dekat wilayahnya.
Pada hari yang sama Assad digulingkan, Israel mengumumkan tenteranya memasuki zon penampan dikawal PBB yang telah memisahkan tentera Israel dan Syria di Dataran Tinggi Golan yang strategik sejak 1974.
AN-AFP, 10 Mac 2025