KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti ditahan dalam Op Pedo selepas dikesan menyimpan lebih 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan bahan lucah dewasa, April lalu.
Rampasan bahan lucah itu termasuk rakaman yang dipercayai dihasilkan sendiri membabitkan dua sepupu bawah umur.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata tangkapan dibuat pada jam 4 petang, 29 April lalu, hasil maklumat kerjasama dengan pihak Google.
“Pasukan serbuan terdiri daripada Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Kontinjen Johor menahan lelaki itu di Gudang, Johor.
“Hasil pemeriksaan mendapati dia ialah penuntut universiti dan pemeriksaan lanjut menemui 5,000 CSAM serta bahan lucah dewasa di dalam peranti milik suspek yang dipercayai dimuat turun dari Internet.
“Turut ditemui ialah bahan-bahan yang disyaki dihasilkan sendiri oleh suspek, membabitkan dua mangsa kanak-kanak tempatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Siti Kamsiah berkata, tangkapan dan rampasan telefon bimbit serta komputer riba dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan lanjut menunjukkan suspek mengeksploitasi secara seksual dua orang kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang juga sepupunya.
“Suspek merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit dalam beberapa kejadian di tiga lokasi berbeza di Kontinjen Selangor, Pahang dan Kelantan,” katanya.
Beliau memaklumkan, tiga lagi kertas siasatan berasingan turut dibuka bagi menyiasat insiden di kontinjen berkaitan.
“Bagi kes memiliki CSAM dan bahan lucah, suspek sudah dituduh di Johor pada 22 Mei lalu dan mengaku bersalah serta membayar denda RM5,000.
“Sementara itu, bagi kesalahan merakam perbuatan bersama kanak-kanak di kediaman keluarga suspek di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025, suspek dituduh hari ini di Klang,” katanya.
Menurut beliau, siasatan berhubung kejadian merakam perbuatan memandikan kanak-kanak di sebuah tandas di ladang itik kebun sawit di Maran, Pahang, masih dalam kajian pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Bagi kejadian di Kelantan yang berlaku tahun lalu dan tahun ini di rumah nenek suspek, siasatan juga sedang diteliti oleh pihak Pejabat Peguam Negara,” katanya.
BH ONLINE