TEHRAN, 25 Jun – Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Selasa mengumumkan “peperangan 12 hari berakhir” dan menggesa semua badan kerajaan dan institusi revolusioner untuk menumpukan semua usaha mereka pada pembinaan semula.
“Hari ini, selepas keberanian dan ketabahan anda yang bersejarah, kita menyaksikan gencatan senjata dan berakhirnya perang 12 hari yang dikenakan ke atas negara Iran oleh petualang” Israel, kata Pezeshkian dalam mesej kepada rakyat Iran selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
“Musuh yang agresif gagal mencapai matlamat jahatnya untuk memusnahkan kemudahan nuklear dan menjejaskan pengetahuan nuklear, serta mencetuskan kekacauan sosial,” katanya.
Sebaliknya, keruntuhan “kebal palsu” Israel dan sekutunya, bersama dengan pemusnahan meluas kemudahan dan pusat penting di wilayah yang diduduki, menghantar mesej utama kepada dunia bahawa kos petualang menentang Iran yang hebat adalah sangat berat, tambahnya.
Dalam panggilan telefon dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Selasa, Pezeshkian berkata bahawa negaranya bersedia untuk menyelesaikan isu dalam rangka kerja antarabangsa dan di meja rundingan.
Amerika Syarikat dan Israel berusaha untuk mewujudkan perselisihan dan permusuhan dalam kalangan negara-negara Islam, katanya, sambil menyatakan bahawa Iran sedang berusaha untuk mengukuhkan perpaduan dan keamanan di rantau ini dan menganggap mereka sebagai asas untuk mempercepatkan pembangunan.
Pada 13 Jun, Israel melancarkan serangan udara besar di kawasan berbeza di Iran, termasuk tapak nuklear dan tentera, membunuh komander kanan, saintis nuklear dan orang awam. Iran bertindak balas dengan melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel, mengakibatkan korban dan kerosakan teruk.
XINHUA