TUMPAT – Kemajuan fizikal untuk Projek Jambatan Palekbang-Kota Bharu sudah mencecah 15 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat, berkata, kerja awal sudah dimulakan termasuk penanaman cerucuk ‘bored pile’ dan ‘RC Square pile’, rawatan tanah (surcharge treatment) serta pembinaan platform bagi kerja-kerja struktur jambatan di atas air.
“Ini menandakan permulaan kukuh kepada pembinaan struktur utama projek ini dan kini kerja-kerja rawatan tanah serta pembinaan substruktur sedang giat dijalankan.
“Setakat ini, kemajuan projek sudah mencapai 15 peratus dan fasa seterusnya akan membabitkan pembinaan struktur atas (superstructure) jambatan termasuk pylon utama bagi jambatan jenis ‘cable stayed’ setinggi 120 meter (m) dari aras Sungai Kelantan.
“Jambatan ‘cable stayed’ ini akan merentasi 300m sungai manakala jambatan penghubung (approach bridge) pula sepanjang 900m,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan, projek yang menelan kos hampir RM300 juta itu merangkumi pembinaan jalan dan jambatan sepanjang empat kilometer iaitu jalan jenis U5 dua lorong dua hala.
Dengan siapnya jambatan yang menghubungkan dua daerah itu nanti, beliau berharap ia dapat memangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan Palekbang khususnya Wakaf Bharu, Tumpat dan kawasan sekitarnya seperti Kampung Laut dan Pasir Pekan.
“Selain itu, jambatan ini nanti dapat menyediakan linkage yang lebih efisyen dari sempadan Malaysia-Thailand (Pengkalan Kubor/Rantau Panjang) ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
“Antara keutamaan pembinaannya juga adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Yahya Petra dan di bandar Kota Bharu di samping merancakkan aktiviti pelancongan di Pusat Bandar Kota Bharu,” katanya.
Beliau berkata, Jambatan Palekbang adalah salah satu komponen penting dalam rancangan pembangunan kawasan pesisir Sungai Kelantan yang membabitkan Kota Bharu dan Tumpat.
la turut disokong oleh projek Kota Bharu Promenade dan inisiatif River Cruise yang bakal menghubungkan gugusan pulau di Tumpat ke pusat bandar melalui Kampung Laut.
“Keseluruhannya, pembangunan ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan pembangunan bersepadu berasaskan pelancongan yang mampan, menarik dan memberi impak tinggi kepada ekonomi negeri serta rakyat setempat.
“ECERDC komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam merealisasikan transformasi kawasan pesisir Sungai Kelantan sebagai koridor ekonomi dan pelancongan yang mampan dan berdaya saing demi manfaat rakyat,” katanya.
BH ONLINE