PAPAR – Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian seorang pelajar yang ditemui pengsan di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, di sini, Rabu lalu.
Pelajar perempuan berusia 13 tahun yang juga penghuni asrama sekolah menengah berkenaan dipercayai terjatuh dari bangunan sebelum ditemui kira-kira jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata pelajar itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disah meninggal dunia jam 1 tengahari semalam.
“Polis menerima laporan mengenai kes ini pada jam 8.16 pagi. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti semua aspek berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, kejadian menimpa pelajar perempuan berasal dari Sipitang itu tular selepas berita mengenainya dikongsikan di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan netizen.
Kamaruddin menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan selain menghormati privasi serta perasaan keluarga pelajar yang sedang berduka.
BH ONLINE