Ada empat golongan wanita yang haram dikahwini kerana hubungan perkahwinan iaitu:
1. Isteri bapa (ibu tiri). Haram juga mengahwini isteri datuk (nenek tiri) sebelah bapa dan isteri datuk sebelah ibu. Mereka diistilahkan isteri-isteri usul manusia. Mereka haram dikahwini selama-lamanya.
Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu melainkan apa yang telah berlaku pada masa lalu. Sesunguhnya (perbuatan) itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah) serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).” (Surah an-Nisa, ayat 22)
2. Isteri anak (menantu), isteri cucu lelaki sebelah anak lelaki dan isteri cucu lelaki sebelah anak perempuan. Begitulah seterusnya isteri-isteri furu’ (cabang) yang lain. Mereka haram dikahwini sama sekali.
Firman Allah bermaksud: “Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) isteri-isteri anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 23)
Bekas isteri anak angkat tidak termasuk dalam firman Allah yang bermaksud: “Yang berasal daripada benih kamu.”
3. Ibu mentua
Seorang lelaki tidak boleh mengahwini ibu mentuanya.
Firman-Nya bermaksud: “Dan (haram juga dikahwini) ibu-ibu isteri kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 23)
Haram juga dikahwini semua nenek isteri, moyang dan seterusnya.
Ketiga-tiga golongan yang disebutkan itu haram dikahwini sebaik saja berlangsungnya akad nikah sama ada berlaku persetubuhan selepas akad ataupun tidak. Sekiranya akad nikah dengan salah seorang daripada golongan berkenaan dilangsungkan, akadnya adalah batal.
4. Anak perempuan kepada isteri (anak tiri).
Anak terbabit diharamkan berkahwin dengan bapa tiri selepas bapa tiri bersetubuh dengan ibunya.
Firman-Nya bermaksud: “Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) anak-anak tiri perempuan yang dalam jagaan kamu daripada isteri-isteri yang telah kamu campuri (setubuhi). Tetapi kalau kamu belum mencampuri isteri-isteri kamu itu (dan kamu telah menceraikan mereka) maka tiadalah salah kamu berkahwin dengan anak-anak tiri kamu itu.” (Surah an-Nisa, ayat 23)
Pengharaman berkahwin dengan anak tiri tidak hanya terhad kepada mereka yang tinggal bersama dengan ibunya sahaja tetapi juga kepada anak-anak tiri yang tinggal jauh dari ibunya.
Disebutkan ‘dalam jagaan kamu’ hanyalah untuk menerangkan kebiasaan yang berlaku kepada anak tiri iaitu mereka dipelihara dan tinggal bersama bapa tiri.
Begitu juga seorang wanita diharamkan berkahwin dengan bapa tirinya, suami anak perempuannya (menantu lelaki), anak tirinya dan bapa mentuanya.
Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie