Keluarga dan penjagaannya dalam Islam

Foto hiasan

Dari segi bahasa keluarga ialah kumpulan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan lelaki tertentu.

Dari segi istilah keluarga dalam sistem Islam ialah satu sel atau kumpulan yang mengandungi bapa, ibu, datuk, nenek, anak lelaki dan perempuan serta cucu.

Jika individu adalah batu-bata yang paling penting dalam pembentukan masyarakat, keluarga pula adalah sel yang paling penting untuk menghidupkan asas berkenaan.

Individu adalah satu juzuk daripada keluarga yang mengambil ciri istimewa daripada keluarga berkenaan.

Firman Allah bermaksud: “(Mereka berkembang biak sebagai) satu keturunan zuriat yang sebahagiaannya berasal daripada sebahagian yang lain.” (Surah Ali-Imran, ayat 34)

Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka, ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Kristian dan Majusi, sebagaimana binatang yang melahirkan anaknya dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kecacatan. Adakah kamu mendapati binatang dilahirkan dalam keadaan telinganya terpotong?” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Individu adalah sebahagian daripada keluarga. Keluarga pula adalah sebahagian daripada masyarakat. Keluarga menjadi tiang asas kepada masyarakat. Jika keluarga itu baik, maka individu juga akan baik. Jika individu baik, maka keluarga akan turut baik dan masyarakat akan menjadi baik.

Gambaran penekanan Islam kepada keluarga

Islam amat mengambil berat terhadap institusi keluarga. Hal ini dapat dilihat melalui undang-undang dan syariat yang dibuat oleh Islam untuk menyusun institusi kekeluargaan. Berikut adalah sebahagian daripada contoh yang boleh dipaparkan:

1. Perintah supaya berkahwin

Perintah ini dilakukan untuk membentuk institusi kekeluargaan kerana keluarga tidak akan wujud tanpa perkahwinan.

Firman Allah bermaksud: “Dan (dihalalkan kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang menjaga kehormatan mereka (yang suci) daripada kalangan perempuan yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 5)

2. Islam menetapkan hak dan tanggungjawab suami isteri

Islam mewajibkan suami dengan:

  • Mas kahwin
    “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin- mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.” (Surah an-Nisa, ayat 4)
  • Nafkah
    “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 233)
    Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Dan bagi isteri-isteri kamu hendaklah kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Riwayat Muslim)
  • Bergaul dengan isteri secara baik
    “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik.” (Surah an-Nisa, ayat 19)


Islam mewajibkan isteri dengan beberapa perkara:

  • Taat kepada suami dalam perkara yang bukan maksiat
    “Lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap wanita.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
  • Tidak boleh membenarkan orang lain memasuki rumah tanpa kebenaran dan keredaan suami
    Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri-isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya di atas hamparanmu.” (Riwayat Muslim)
    Imam Nawawi berkata: “Isteri-isteri tidak boleh membenarkan seseorang yang kamu benci untuk masuk dan tinggal di dalam rumah kamu.”
  • Menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta benda suami
    Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kamu kepada sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Ia adalah isteri solehah yang apabila suami melihatnya, dia menggembirakan suaminya, apabila suaminya menyuruhnya, dia taat dan apabila suami tidak ada di sisinya, dia menjaga dirinya dan harta benda suaminya.” (Riwayat Abu Daud)

3. Islam mensyariatkan hak anak dan ibu bapa

Islam mewajibkan ibu bapa dengan beberapa kewajipan terhadap anak:

  • Nafkah
    “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.” (Surah at-Talak, ayat 6)
    Allah mewajibkan bayaran upah kepada ibu yang menyusu sebagai nafkah kepada anak.
  • Mendidik anak supaya sentiasa beribadat dan berakhlak (mulia)
    Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Didiklah anak-anakmu dengan tiga sifat; cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi kamu dan membaca al-Quran.” (Riwayat ad-Dailami)

Islam juga mewajibkan anak dengan beberapa kewajipan terhadap ibu bapa:

  • Taat kepada ibu bapa dalam perkara yang tidak maksiat serta berbuat baik kepada mereka.
    “Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) telah perintahkan supaya kamu semua tidak menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra, ayat 23)
    “Dan bergaullah dengan mereka di dunia ini dengan cara yang baik.” (Surah Luqman, ayat 15)
  • Memberikan nafkah kepada ibu bapa sekiranya mereka fakir miskin dan anak adalah orang yang senang

Sumber – Kitab Fiqah Mazhab Syafie