KUALA TERENGGANU – Bekas pengetua dipenjara 107 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Rosli Abd Rahman, 60, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun lapan bulan.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah ini dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Dia turut didakwa membabitkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (1) (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 11 (1) (a) dan lima tahun penjara bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a), 14(c) dan 14(d) AKSTKK 2017.
Bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2)(f), tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.
Semua hukuman penjara itu bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara selama 15 tahun selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.
Mahkamah turut membenarkan penangguhan hukuman tertuduh sementara menunggu rayuan dan jaminan dinaikkan sebanyak RM40,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam,Abdul Rahman Razak.
BH ONLINE