SEREMBAN – Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, 24 Julai lalu, ditemui maut dengan mayatnya ditanam di Rompin, Jempol, hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata mayat kanak-kanak itu ditemui susulan penahanan bapa mangsa berusia 36 tahun oleh Polis Johor, hari ini.
“Kira-kira jam 4.30 petang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menerima maklumat penemuan mayat di kawasan Rompin.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian awal berlaku di Johor Bahru yang mana seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah pada 24 Julai lalu.
“Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang hilang (sebelum mayat ditemui),” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil siasatan dijalankan, beliau berkata, pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan bapa kanak-kanak terbabit.
“Tindakan susulan kira-kira jam 4 petang kemudian membawa kepada penemuan mayat mangsa yang ditanam di Rompin. Kanak-kanak itu disyaki dibunuh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Tishant a/l Munisammy, 6, dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah pada 24 Julai.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, dipetik berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 2.15 pagi daripada bapa kanak-kanak terbabit yang berusia 36 tahun.
BH ONLINE