Category: NEWS

  • Amalan memasukkan diri ke syurga

    Daripada Abu Ayub Khalid bin Zaid al-Ansari RA: “Bahawa ada seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahulah saya suatu amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga serta menjauhkan saya dari neraka.

    Kemudian Nabi SAW bersabda: Hendaknya engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan menyambung ikatan kekeluargaan.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    – Dalam hadis ini ada dalil orang yang mengesakan Allah, melaksanakan rukun Islam dan menyambung ikatan kekeluargaan, maka dia akan masuk syurga.

  • Kelebihan menyambung ikatan keluarga

    Daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa ingin diluaskan rezekinya dan diakhirkan ajalnya, maka hendaklah dia menyambung ikatan kekeluargaannya.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Abu Daud)\

    HURAIAN

    – Hadis ini menunjukkan perihal menyambung ikatan kekeluargaan dapat menambahkan rezeki dan usia dengan mendapat pertolongan dan keberkatan.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Anak yang celaka

    Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu (RA) meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: “Celaka, celaka, sekali lagi celaka (maksudnya sangat hina) orang yang sempat menemui orang tuanya sampai usia tua, seorang daripada kedua-duanya ataupun kedua-duanya, tetapi orang terbabit tidak dapat masuk syurga.” (Riwayat Muslim)

    HURAIAN

    – Hadis ini memberi amaran kepada anak agar berbakti kepada orang tuanya apabila mereka sampai usia tua.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Manusia paling utama

    Daripada Abu Umamah Sudayy bin Ajlan al-Bahili RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah orang yang memulai memberikan salam di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud, dengan sanad yang bagus)

    HURAIAN

    – Orang yang pertama mengucapkan salam lebih utama di sisi Allah, kerana dia bersegera melakukan ketaatan kepada-Nya dan mendekatkan diri untuk mentaati-Nya.

    – Al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu’abul Iman daripada Ibnu Mas’ud secara marfuk: “Jika seseorang menjumpai suatu kaum, kemudian mengucapkan salam, lalu mereka menjawab salamnya, maka baginya keutamaan atas mereka kerana dia mengucapkan salam kepada mereka. Seandainya salamnya tidak dijawab, maka ada sekelompok malaikat yang lebih baik dan lebih bagus daripada mereka yang menjawab salamnya.”

  • Anak kecil boleh melakukan haji

    Daripada Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertemu dengan sekumpulan orang berkenderaan di Rauha’.

    Maka, baginda bertanya: Siapakah kaum ini?

    Mereka menjawab: (Kami kaum) muslimin.

    Maka, mereka bertanya: Siapa anda?

    Baginda menjawab: (Saya) Rasulullah.
    Maka, seorang perempuan mengangkat seorang anak kecil kepadanya (baginda), maka bertanya: Apakah anak ini boleh melakukan ibadat haji?

    Baginda menjawab: Ya, dan kamu mendapat pahala. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 170

  • Menjilat jari selepas makan

    Daripada Jabir RA meriwayatkan: Bahawa Rasulullah SAW menyuruh menjilat jari-jari dan piring, dan bersabda: Sesungguhnya kamu semua tidak tahu di manakah ada berkatnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam riwayat lain daripada Imam Muslim disebutkan: Jika sesuap makanan salah seorang antara kamu jatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, lalu hendaklah dia menyingkirkan kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya dan janganlah makanan itu dibiarkan untuk syaitan, dan jangan pula seseorang mengusap tangannya dengan sapu tangan sehingga dia menjilat jari-jarinya terlebih dahulu, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui di bahagian makanan yang mana ada keberkatan.

    Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesungguhnya syaitan akan mendatangi seseorang antara kamu di setiap keadaannya, bahkan syaitan juga mendatangi orang itu ketika dia makan. Maka jika sesuap makanan salah seorang daripada kamu jatuh, maka hendaklah dia menyingkirkan kotoran-kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya, dan jangan dibiarkan untuk syaitan.

    Hadis ini mengandungi anjuran untuk menundukkan jiwa dengan sikap rendah hati dan mengambil makanan yang terjatuh dan tidak membiarkannya serta perintah menjilat jari-jari dan piring.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 157-158

  • Kedua-duanya mendapat pahala

    Daripada Abu Said al-Khudri RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengutus suatu pasukan untuk memerangi Bani Lihyan dari suku Hudzail, lalu baginda bersabda: Hendaklah yang berangkat dari setiap dua orang hanya salah seorang daripada kedua-duanya dan kedua-duanya mendapat pahala. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 170

  • Membantu pelaku kebaikan diberikan pahala seperti pelakunya

    Daripada Abu Abdur Rahman bin Zaid bin Khalid al-Juhani berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa menyiapkan (perbekalan) kepada seseorang yang berperang di jalan Allah, maka sungguh dia juga ikut berperang dan sesiapa menggantikan mengurus keluarga orang yang berperang dengan baik, sungguh dia juga (mendapat pahala) berperang. (Muttafaq alaih- maksudnya diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menegaskan bahawa orang yang menolong melakukan kebaikan, maka baginya pahala seperti pelaku kebaikan itu.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 170

  • Sesiapa mengajak kesesatan, dia mendapat dosa

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengajak kepada petunjuk, maka dia mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian daripada pahala-pahala mereka, dan sesiapa mengajak kepada kesesatan, maka dia mendapat dosa sebagaimana dosa orang-orang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian itu daripada dosa-dosa mereka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 167

  • Mendapat pahala seperti pelakunya

    Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Permulaan riwayat ini, Abu Mas’ud berkata: Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: Sungguh kenderaanku binasa. Oleh itu berilah saya tumpangan. Baginda menjawab: Saya tidak punya. Lantas, sahabat lain berkata: Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan kepadanya orang yang dapat memberikan tumpangan untuknya. Seterusnya Rasulullah bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 167