Category: NEWS

  • Sunah cium anak

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Nabi SAW pernah mencium Hasan bin Ali RA. Al-Aqra’ bin Habis pun berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Rasulullah SAW lalu bersabda: Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.(Sahih Bukhari dan Muslim) 

    HURAIAN

    – Intisari hadis ini ialah sunah mencium anak sebagai bentuk kasih sayang. 

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya 

  • Keampunan kerana berjabat tangan

    Daripada al-Barra RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan melainkan Allah mengampuni bagi kedua-duanya sebelum kedua-duanya berpisah. (Riwayat Abu Daud)

    HURAIAN

    Intisari hadis ini ialah penegasan perintah dan anjuran berjabat tangan berdasarkan khabar daripada Nabi SAW bahawa Allah akan mengampuni dua orang yang berjabat tangan di tempat kedua-duanya bertemu.

  • Cara jawab salam ahli kitab

    Daripada Anas RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) memberi salam kepada kamu, maka jawablah (dengan ucapan): Wa alaikum.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    – An-Nawawi berkata: “Ulama sepakat atas bolehnya menjawab ucapan salam kepada ahli kitab jika mereka mendahului mengucapkan salam, namun jangan dengan mengucapkan wa alaikum salam tetapi ucapkanlah alaikum atau wa alaikum.”

    – Makna hadis ini terdapat dalam hadis lain: “Sesungguhnya orang Yahudi ketika mengucapkan salam kepada kamu, salah satu daripada mereka mengucapkan ‘as-saamu alaikum’ maka jawablah salam mereka dengan ucapan ‘wa alaikum’.” (Riwayat Muslim) 

    – As-saamu ertinya kematian.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • 5 hak Muslim

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Hak seorang Muslim ke atas Muslim lain lima: Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantarkan jenazah, memenuhi undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    – Dalam riwayat Muslim disebutkan: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim lain ada enam.” Tambahannya: “Jika dia meminta nasihat kepadamu, maka nasihatilah dia.”

  • Tidak cela makanan

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Tidak pernah sekali pun Rasulullah SAW mencela makanan. Jika berselera, maka Baginda memakannya dan jika tidak suka, maka Baginda meninggalkannya. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)  

    HURAIAN

    – Perbuatan mencela makanan boleh mengguris hati pemiliknya, sedang memuji makanan adalah pujian terhadap Allah dan penghibur hati pemiliknya.

  • Umpama hujan menyirami bumi

    Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang aku diutus oleh Allah untuk membawanya ialah bagaikan hujan yang mengena (menyiram) bumi.Di antara bumi, ada bahagian yang baik. Tanah bahagian ini dapat menerima air, sehingga ia dapat menumbuhkan rumput dan lalang yang banyak sekali.

    Dan di antara bumi ada pula yang gersang. Tanah bahagian ini dapat menahan air, maka Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan tanah ini, kerana mereka dapat minum darinya, dapat menyiram dan menanam.

    Ada pula hujan mengenai bahagian bumi yang lain. Tanah ini hanyalah tanah rata lagi licin, tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput.

    Jadi, itulah perumpamaan orang yang pandai dalam agama Allah dan dapat pula memberikan manfaat dengan apa yang aku diutus oleh Allah untuk membawanya, lalu ia dapat memahami dan mengajarkannya dan perumpamaan orang yang enggan mengangkat kepala untuk menerima petunjuk dan ilmu dan tidak menerima petunjuk Allah yang saya diutus untuk membawanya.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

  • Makan tak kenyang

    Daripada Wahsyi bin Harb RA, sahabat Rasulullah SAW berkata: Wahai Rasulullah! Kami makan, namun tidak berasa kenyang?

    Baginda bersabda: Mungkin kamu makan sendiri-sendiri? 

    Mereka menjawab: Benar. 

    Baginda bersabda: Kalau begitu, makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah. Nescaya kamu akan diberkati padanya. (Diriwayat oleh Abu Daud)  

    HURAIAN

    – Hadis ini mengandungi penjelasan bahawa keberkatan itu akan turun pada orang yang makan secara berjemaah.

    – Ath-Thabarani menambah, hadis daripada Ibnu Umar: “Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang dan makanan dua orang cukup untuk empat orang.”

  • Huru-hara dari timur

    Daripada Ibnu Umar RA (radhiallahu anhu — semoga diredai Allah), bahawa Rasulullah SAW (sollallahu alaihi wasallam) pernah berdiri di sebelah mimbar sambil menghadap ke (arah) timur, lalu bersabda (ertinya):

    “Ketahuilah, sesungguhnya fitnah (huru-hara akan timbul) dari sini, dari tempat munculnya tanduk syaitan atau kata baginda, tanduk matahari.”

    Rujukan/sumber – Huru-hara hari kiamat, Ibn Katsir — Bab beberapa contoh rusuhan yang telah dan akan terjadi pada akhir zaman.

  • Penebus kesalahan

    Daripada Abu Barzah RA, dia berkata: “Adalah Rasulullah SAW berkata di akhir apabila Baginda hendak bangun dari majlis: Subhanakallahumma wa bihamdika asyhadu an la ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaik (Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu, saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Engkau, saya memohon ampunan serta bertaubat kepada Engkau).

    “Kemudian, ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, anda mengucapkan suatu ucapan yang anda tidak pernah ucapkan sebelum ini?

    “Baginda bersabda: Itu sebagai penebus kesalahan-kesalahan yang terjadi di dalam majlis.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

    HURAIAN

    – Apabila seseorang mengakhiri majlisnya dengan membaca zikir ini, maka ia akan menjadi penghapus kesalahan senda gurau dan dosa lainnya yang terjadi di dalam majlis. Dan jika hal itu dilakukan dalam suatu majlis, maka ia ibarat orang yang membiasakannya dan itu akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.

  • Ketaatan dan hubung kaitnya

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (ertinya): “Sesiapa mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah. Sesiapa menderhaka kepadaku, maka dia menderhaka kepada Allah. Dan sesiapa mentaati seorang pemimpin, maka dia telah mentaatiku. Sesiapa menderhaka terhadap seorang pemimpin, maka dia menderhaka kepadaku.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    HURAIAN

    – Hadis ini menerangkan mengenai kewajipan taat kepada pemimpin dan haramnya menentang mereka. 

    Firman Allah bermaksud: “Sesiapa mentaati Rasul, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa berpaling (daripada ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 80)