Category: NEWS

  • Solat adalah cahaya

    Daripada Abi Malik al-Harits bin Asim al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Bersuci adalah sebahagian iman, (ucapan) alhamdulillah memenuhi timbangan, (ucapan) subhanallah dan alhamdulillah dapat memenuhi atau mengisi penuh antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya pula, al-Quran dapat menjadi hujah yang membelamu dan dapat pula sebagai hujah yang memberatkanmu. Setiap orang berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya (kepada Allah) bererti dia membebaskan dirinya sendiri atau merosakkan dirinya sendiri. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 55

  • Kedua-duanya masuk syurga

    Daripada Abi Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah tertawa (senang) kepada dua orang. Salah seorang daripada kedua-duanya membunuh yang lainnya, kemudian kedua-duanya masuk syurga. Yang seorang itu berperang di jalan Allah, kemudian dia dibunuh. Selanjutnya Allah menerima taubat atas orang yang membunuhnya tadi, lalu dia masuk Islam dan selanjutnya dia mati syahid. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 53

  • Allah menerima taubat orang bertaubat

    Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang anak Adam memiliki selembah emas, dia tentu menginginkan memiliki dua lembah, dan tidak akan dapat memenuhi mulutnya melainkan tanah dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 52

  • Seandainya taubat itu dibagikan kepada tujuh puluh orang daripada penduduk Madinah, pasti masih mencukupi…

    Daripada Abi Nujaid Imran bin Husoin al-Khuza’i RA bahawa ada seorang perempuan daripada suku Juhainah datang kepada Rasulullah SAW dan dia dalam keadaan hamil, kerana perbuatan zina. Kemudian, dia berkata: Wahai Rasulullah, saya telah melakukan suatu perbuatan yang harus dikenakan had (hukuman had), maka lakukanlah had itu ke atas diriku.

    Nabi Allah SAW lalu memanggil wali perempuan terbabit, lalu baginda: Berbuat baiklah kepada perempuan ini dan apabila dia telah melahirkan, maka datanglah ke mari.

    Wali itu melakukan apa yang telah diperintahkan.

    Kemudian Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan hukuman itu. Selanjutnya perempuan itu diikatkan dengan pakaiannya, kemudian direjam. Selanjutnya baginda melakukan solat jenazah perempuan itu.

    Umar berkata kepada baginda: Apakah anda melakukan solat jenazahnya wahai Rasulullah, padahal dia telah berbuat zina?

    Baginda bersabda: Dia telah bertaubat dengan sungguh-sungguh, seandainya taubatnya itu dibagikan kepada tujuh puluh orang daripada penduduk Madinah, pasti masih mencukupi. Adakah engkau pernah menemui seseorang yang lebih utama daripada orang yang mendermakan jiwanya kerana Allah. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 51 & 52

  • Kisah seorang yang membunuh 99 orang

    Daripada Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa Nabi Allah SAW bersabda:

    Pernah terjadi kepada umat sebelum kamu seorang yang membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lantas dia mencari orang paling alim di muka bumi ini. Lalu dia ditunjukkan agar datang kepada seorang rahib. Dia pun datang kepada rahib itu. Dia mengatakan bahawa dirinya telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah masih ada pintu taubat untuknya? Rahib menjawab: Tidak ada. Lalu dia membunuh rahib itu, sehingga orang yang dibunuh olehnya genap seratus orang.

    Kemudian dia mencari lagi orang paling alim di muka bumi ini, sehingga dia ditunjukkan agar datang kepada seorang lelaki yang alim. Dia berkata kepadanya, bahawa dirinya telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada pintu taubat baginya? Orang alim itu menjawab: Ya, masih ada. Siapa yang menghalangi antara seseorang dengan taubatnya! Pergilah ke daerah ini dan ini. Sungguh di daerah itu terdapat orang-orang yang beribadat kepada Allah. Beribadatlah kepada Allah bersama mereka. Engkau jangan kembali ke daerahmu, kerana daerahmu adalah tempat yang buruk. Dia pun berangkat.

    Ketika dia sampai di pertengahan jalan datanglah waktu kematiannya. Akhirnya malaikat pembawa rahmat dan malaikat pembawa azab berselisih (berlaku perselisihan). Malaikat rahmat mengatakan, dia datang dalam keadaan bertaubat, seraya menghadapkan hatinya kepada Allah. Sedangkan malaikat azab berkata, sungguh dia belum pernah melakukan amalan kebaikan sama sekali.

    Lantas malaikat yang menjelma manusia datang kepada mereka. Mereka menjadikan malaikat itu sebagai pemutus hukum antara mereka berdua.

    “Ukurlah jarak tempat dia meninggal dengan kedua-dua daerah. Daerah yang paling dekat di antara kedua-duanya itu, maka dia dihukumi sesuai dengan daerah itu.”

    Lantas mereka mengukurnya, dan ternyata dia lebih dekat ke daerah tujuannya. Seterusnya malaikat rahmat yang mendapatkannya. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Dalam riwayat sahih lain disebutkan: Ternyata dia lebih dekat ke desa yang baik dengan terpaut sejengkal. Oleh kerana itu, dia dianggap termasuk penduduk daerah itu.”

    Dalam riwayat sahih lain, disebut: Allah memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tinggalkan) agar menjauh dan memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tuju) agar mendekat. Dia berkata: Ukurlah jarak di antara dia dengan kedua-dua desa itu, maka mereka mendapatinya lebih dekat ke desa ini dengan terpaut satu jengkal, lalu Allah memberi keampunan kepadanya.

    Dalam riwayat lain lagi disebutkan: Orang terbabit bergerak dengan dadanya ke arah tempat yang dituju.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 41

  • Taubat sebelum terlambat

    Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Umar al-Khattab RA, daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai di tenggorak. (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi, dan dia mengatakan hadis ini adalah hadis hasan [statusnya])

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

  • Bertaubat segera

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari arah barat, maka Allah menerima taubatnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

  • Allah Maha Pengampun

    Daripada Abi Musa Abdillah bin Qais al-Asy’ari RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya (rahmat-Nya) di malam hari, agar orang yang berbuat kesalahan di siang hari bertaubat dan Dia juga membuka tangan-Nya (rahmat-Nya) di siang hari agar orang yang berbuat kesalahan di malam hari bertaubat. Demikian ini terus-menerus sampai terbitnya matahari dari arah barat. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

  • Nabi taubat 100 kali sehari

    Daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzani RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Maka, sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari seratus kali. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36

  • Nabi mohon keampunan lebih 70 kali sehari

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, sesungguhnya saya memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36