Category: HADIS

  • Tak mampu, usah jadi pemimpin

    Daripada Abu Dzar RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Wahai Abu Dzar! Aku melihatmu lemah dan aku menginginkan untukmu seperti yang aku inginkan untuk diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan jangan kamu mengurus harta anak yatim.” (Riwayat Muslim)

    HURAIAN

    – Hadis ini menerangkan orang yang tidak mampu menunaikan hak kepimpinan dan melakukan urusannya, maka dia tidak boleh menerimanya. Demikian juga halnya dengan orang yang tidak mampu mengurus dengan baik harta anak yatim.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Mohon ampun

    Daripada Abu Hurairah berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Demi Allah, sesungguhnya saya memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat kepadanya dalam sehari lebih daripada 70 kali.” (Riwayat Bukhari)

    HURAIAN

    – Dalam hadis ini terdapat motivasi kepada umat untuk bertaubat dan istighfar (memohon keampunan).

    Ibnu Battal berkata: Kalangan nabi adalah orang-orang yang paling bersungguh-sungguh dalam beribadat sebab pengetahuan yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka. Maka, mereka sentiasa bersyukur kepada-Nya dan mengakui kekurangan mereka.

  • Tiga penyelamat selepas mati

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila mati anak Adam, terputus amalannya, melainkan daripada tiga (hal): Sedekah jariah atau ilmu yang memberikan manfaat dengannya ataupun anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Muslim)

  • Malu

    Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW pernah menemui seorang lelaki daripada golongan Ansar yang ketika itu sedang menasihati saudaranya lantaran sikap malunya. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Biarkan dia, kerana sesungguhnya malu (bahagian)  daripada keimanan.” (Sahih Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Nasai)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya​

  • Amalan memasukkan diri ke syurga

    Daripada Abu Ayub Khalid bin Zaid al-Ansari RA: “Bahawa ada seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahulah saya suatu amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga serta menjauhkan saya dari neraka.

    Kemudian Nabi SAW bersabda: Hendaknya engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan menyambung ikatan kekeluargaan.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    – Dalam hadis ini ada dalil orang yang mengesakan Allah, melaksanakan rukun Islam dan menyambung ikatan kekeluargaan, maka dia akan masuk syurga.

  • Kelebihan menyambung ikatan keluarga

    Daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa ingin diluaskan rezekinya dan diakhirkan ajalnya, maka hendaklah dia menyambung ikatan kekeluargaannya.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Abu Daud)\

    HURAIAN

    – Hadis ini menunjukkan perihal menyambung ikatan kekeluargaan dapat menambahkan rezeki dan usia dengan mendapat pertolongan dan keberkatan.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Anak yang celaka

    Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu (RA) meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: “Celaka, celaka, sekali lagi celaka (maksudnya sangat hina) orang yang sempat menemui orang tuanya sampai usia tua, seorang daripada kedua-duanya ataupun kedua-duanya, tetapi orang terbabit tidak dapat masuk syurga.” (Riwayat Muslim)

    HURAIAN

    – Hadis ini memberi amaran kepada anak agar berbakti kepada orang tuanya apabila mereka sampai usia tua.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Manusia paling utama

    Daripada Abu Umamah Sudayy bin Ajlan al-Bahili RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah orang yang memulai memberikan salam di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud, dengan sanad yang bagus)

    HURAIAN

    – Orang yang pertama mengucapkan salam lebih utama di sisi Allah, kerana dia bersegera melakukan ketaatan kepada-Nya dan mendekatkan diri untuk mentaati-Nya.

    – Al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu’abul Iman daripada Ibnu Mas’ud secara marfuk: “Jika seseorang menjumpai suatu kaum, kemudian mengucapkan salam, lalu mereka menjawab salamnya, maka baginya keutamaan atas mereka kerana dia mengucapkan salam kepada mereka. Seandainya salamnya tidak dijawab, maka ada sekelompok malaikat yang lebih baik dan lebih bagus daripada mereka yang menjawab salamnya.”

  • Anak kecil boleh melakukan haji

    Daripada Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertemu dengan sekumpulan orang berkenderaan di Rauha’.

    Maka, baginda bertanya: Siapakah kaum ini?

    Mereka menjawab: (Kami kaum) muslimin.

    Maka, mereka bertanya: Siapa anda?

    Baginda menjawab: (Saya) Rasulullah.
    Maka, seorang perempuan mengangkat seorang anak kecil kepadanya (baginda), maka bertanya: Apakah anak ini boleh melakukan ibadat haji?

    Baginda menjawab: Ya, dan kamu mendapat pahala. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 170

  • Menjilat jari selepas makan

    Daripada Jabir RA meriwayatkan: Bahawa Rasulullah SAW menyuruh menjilat jari-jari dan piring, dan bersabda: Sesungguhnya kamu semua tidak tahu di manakah ada berkatnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam riwayat lain daripada Imam Muslim disebutkan: Jika sesuap makanan salah seorang antara kamu jatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, lalu hendaklah dia menyingkirkan kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya dan janganlah makanan itu dibiarkan untuk syaitan, dan jangan pula seseorang mengusap tangannya dengan sapu tangan sehingga dia menjilat jari-jarinya terlebih dahulu, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui di bahagian makanan yang mana ada keberkatan.

    Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesungguhnya syaitan akan mendatangi seseorang antara kamu di setiap keadaannya, bahkan syaitan juga mendatangi orang itu ketika dia makan. Maka jika sesuap makanan salah seorang daripada kamu jatuh, maka hendaklah dia menyingkirkan kotoran-kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya, dan jangan dibiarkan untuk syaitan.

    Hadis ini mengandungi anjuran untuk menundukkan jiwa dengan sikap rendah hati dan mengambil makanan yang terjatuh dan tidak membiarkannya serta perintah menjilat jari-jari dan piring.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 157-158

  • Kedua-duanya mendapat pahala

    Daripada Abu Said al-Khudri RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengutus suatu pasukan untuk memerangi Bani Lihyan dari suku Hudzail, lalu baginda bersabda: Hendaklah yang berangkat dari setiap dua orang hanya salah seorang daripada kedua-duanya dan kedua-duanya mendapat pahala. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 170

  • Membantu pelaku kebaikan diberikan pahala seperti pelakunya

    Daripada Abu Abdur Rahman bin Zaid bin Khalid al-Juhani berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa menyiapkan (perbekalan) kepada seseorang yang berperang di jalan Allah, maka sungguh dia juga ikut berperang dan sesiapa menggantikan mengurus keluarga orang yang berperang dengan baik, sungguh dia juga (mendapat pahala) berperang. (Muttafaq alaih- maksudnya diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menegaskan bahawa orang yang menolong melakukan kebaikan, maka baginya pahala seperti pelaku kebaikan itu.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 170

  • Sesiapa mengajak kesesatan, dia mendapat dosa

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengajak kepada petunjuk, maka dia mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian daripada pahala-pahala mereka, dan sesiapa mengajak kepada kesesatan, maka dia mendapat dosa sebagaimana dosa orang-orang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian itu daripada dosa-dosa mereka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 167

  • Mendapat pahala seperti pelakunya

    Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Permulaan riwayat ini, Abu Mas’ud berkata: Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: Sungguh kenderaanku binasa. Oleh itu berilah saya tumpangan. Baginda menjawab: Saya tidak punya. Lantas, sahabat lain berkata: Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan kepadanya orang yang dapat memberikan tumpangan untuknya. Seterusnya Rasulullah bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 167

  • Sebaik-baik ungkapan, sebaik-baik petunjuk

    Daripada Jabir RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berkhutbah, maka kedua-dua mata baginda merah padam, suaranya nyaring, kelihatan sangat marah sehingga seakan-akan baginda seorang yang memberikan peringatan kepada para tentera yang mengatakan: (Berhati-hatilah) pagi-pagi ini atau petang musuh akan menyerang kamu. Baginda bersabda: Saya diutus, sedang saya dengan terjadinya kiamat bagaikan dua jari ini. Baginda merapatkan antara jari telunjuk dan jari tengah. Baginda bersabda pula: Amma Ba’du. Maka, sesungguhnya sebaik-baik ungkapan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW, sedang seburuk-buruk perkara ialah hal-hal yang diada-adakan dan semua bidaah adalah sesat.

    Seterusnya baginda bersabda: Saya lebih berhak terhadap setiap mukmin daripada dirinya sendiri. Sesiapa meninggalkan harta, maka harta itu milik keluarganya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau memiliki tanggungan, maka itu adalah kepadaku dan menjadi tanggunganku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Diriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah — dalam hadis tersebut terdapat ungkapan: “Sesungguhnya sesiapa antara kamu yang hidup dan melihat perbezaan yang banyak, maka tetaplah mengikuti sunahku…”

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163-164

  • “Wahai Allah, ampunilah kaum hamba ini…”

    Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Mas’ud RA berkata: Seakan-akan saya melihat Rasulullah sedang menceritakan tentang seorang nabi di antara para nabi, solawaatullaahi wasalaamuhu alaihim. Nabi itu dipukul oleh kaumnya sampai keluar darah dan nabi itu mengusap darah dari wajahnya sambil mengucapkan “Wahai Allah, ampunilah kaum hamba ini, sebab mereka tidak mengerti”. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 64

  • “Saya bersabar saja”

    Daripada Atha bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas berkata kepadaku, Apakah kamu mahu saya tunjukkan seorang perempuan yang termasuk ahli syurga?

    Saya berkata: Baiklah.

    Dia melanjutkan: Perempuan berkulit hitam itu pernah datang kepada Nabi, lalu dia berkata: Sesungguhnya saya diserang oleh penyakit ayan dan kerana (penyakit itu) aurat saya terbuka. Maka, berdoalah kepada Allah untuk saya.

    Baginda bersabda: Jika engkau mahu, hendaklah bersabar saja dan bagimu syurga, tetapi jika engkau berkehendak, maka saya akan berdoa kepada Allah agar menyembuhkan penyakitmu.

    Lantas perempuan itu berkata: Saya bersabar saja. Lalu berkata lagi: Sesungguhnya kerana penyakit ini aurat saya terbuka, maka berdoalah kepada Allah agar aurat saya tidak sampai terbuka. Kemudian Nabi mendoakannya. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63 & 64

  • Syurga sebagai ganti

    Daripada Anas berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman, “jikalau Aku memberi cubaan kepada hamba-Ku dengan melenyapkan kedua-dua benda yang disayanginya, kemudian dia bersabar, maka Aku akan memberikan ganti kepadanya syurga.” Yang dimaksudkan ialah kehilangan kedua-dua matanya. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63

  • Seperti pahala orang mati syahid

    Aisyah meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW perihal penyakit taun, lalu baginda memberitahukannya, bahawa sesungguhnya dahulu taun merupakan seksaan yang dikirimkan oleh Allah Taala kepada siapa saja yang Dia kehendaki, lalu Allah Taala menjadikannya sebagai rahmat kepada orang-orang Mukmin. Maka, tidak ada seorang hamba pun yang tertimpa taun, kemudian menetap di daerah seraya bersabar dan mengharapkan keredaan daripada Allah serta mengetahui bahawa taun tidak akan menimpanya kecuali telah ditetapkan oleh Allah kepadanya, melainkan dia akan memperoleh seperti pahala orang yang mati syahid. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63

  • Ganjaran syurga

    Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah Taala berfirman, tidak ada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang Mukmin di sisi-Ku ketika Aku mengambil kekasihnya dari penduduk dunia, kemudian dia ikhlas menerima melainkan syurga.” (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 62