Category: ISLAMIK

  • Kedudukan tertinggi dalam syurga

    Kedudukan tertinggi dalam syurga disebut al-Wasilah, di sanalah kedudukan Rasulullah SAW.

    Dalam sahih Bukhari terdapat riwayat: Daripada Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesiapa ketika mendengar seruan (azan) mengucapkan Allaahumma rabba haadzihidda’watittaammati wassolaatil qaaimah. Aati muhammadanil wasiilata walfadhiilata wab’atshu maqaamammahmudanilladzi wa ‘adtah. (Wahai Allah, pemilik seruan yang sempurna ini, dan solat yang akan didirikan, berilah Nabi Muhammad wasilah dan keutamaan, dan tempatkan baginda di tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikannya), maka dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 483

  • Bagaimana mereka di dalam syurga

    Dalam satu hadis sahih daripada Sahl bin Saad, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya para penghuni syurga benar-benar saling melihat dalam syurga, sebagaimana kamu melihat bintang bercahaya di ufuk timur atau barat.

    Menurut riwayat Ahmad: Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya para penghuni syurga benar-benar saling melihat dalam syurga, sebagaimana kamu saling melihat bintang bercahaya yang tenggelam di ufuk kerana perbezaan tahap mereka masing-masing.

    Mereka (para sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, mereka para nabi?

    Kata baginda: Ya, demi Allah yang menggenggam jiwaku, dan kaum-kaum yang beriman kepada Allah dan membenarkan utusan-utusan Allah.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 482 & 483

  • Bagaimana dalam syurga

    Imam Ahmad meriwayatkan, bahawa perawi hadis ini menyatakan: Aku mendengar Sahal bin Saad berkata; aku pernah ikut hadir di salah satu majlis Rasulullah SAW, di mana baginda menerangkan tentang syurga sampai selesai.

    Kemudian pada akhir perbicaraannya, baginda bersabda (mafhumnya): “Di dalam syurga terdapat apa-apa yang tidak pernah dilihat oleh mata sesiapa pun, tidak pernah didengar oleh telinga sesiapa pun, dan tidak pernah terdetik dalam hati manusia mana pun.”

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 480

  • Tahap syurga

    Abu Bakar bin Abu Daud meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Al-jannah (syurga) seratus darajah (ada diterjemahkan sebagai tingkat). Antara dua darajah perjalanan lima ratus tahun.

    Menurut riwayat Tirmidzi: Di antara dua darajah seratus tahun. (Tirmidzi mengatakan hadis ini hasan sahih)

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 478

  • Jannah seratus tingkat

    Menurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Ubaidah bin Shamit RA, Nabi SAW bersabda (mafhumnya):

    “Syurga (al-jannah) seratus tingkat (darajah). (Jarak) antara dua darajah sejauh perjalanan seratus tahun.”

    Sedang riwayat Ibnu Affan RA: “Seperti di antara langit dan bumi. Dan Firdaus syurga tertinggi darajahnya. Dan daripadanya terpancar sungai-sungai yang empat. Dan Arasy di atasnya. Dan apabila kamu bermohon kepada Allah, maka pintalah kepada-Nya Firdaus.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 477

  • Lapan pintu syurga

    Ath-Thabrani meriwayatkan: Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Di syurga ada lapan pintu. Antara lain pintu Rayyan. Tidak ada yang memasukinya selain orang-orang yang (gemar) berpuasa.”

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Sesiapa membiayai (memberi infaq) sepasang suami isteri (daripada hartanya) di jalan Allah, (maka dia akan) diseru (dari pintu-pintu) di syurga. Maka, sesungguhnya syurga mempunyai lapan pintu.

    Sesiapa daripada ahli solat, dipanggil dari pintu solat.

    Dan sesiapa daripada ahli jihad, dipanggil dari pintu jihad.

    Dan sesiapa daripada ahli sedekah, dipanggil dari pintu sedekah.

    Dan sesiapa daripada ahli puasa, dipanggil dari pintu Rayyan.”

    Abu Bakar as-Siddiq berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimanapun seseorang mesti dipanggil dari salah satu pintu, apakah ada seseorang dipanggil dari semua pintu?”

    Rasulullah SAW berkata: “Ya, dan aku berharap kamu termasuk daripada mereka.”

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 467

  • Masuklah syurga dari pintu mana pun

    Menurut riwayat Imam Ahmad, Muslim dan penyusun kitab sunan meriwayatkan: Daripada Amirul Mukminin Umar bin Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesiapa yang berwuduk dengan wuduk yang sebaik-baiknya, kemudian mendongak ke langit, lalu mengucapkan: Asyhadu allaa ilaaha illallaah wahdahu laa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad hamba-Nya dan rasul-Nya), maka dibukakan baginya pintu-pintu syurga, dia boleh masuk dari pintu mana pun yang dia kehendaki.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 466

  • ‘Maut’ di atas sirat

    Imam Ahmad meriwayatkan pula: Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Pada hari kiamat, maut akan didatangkan, lalu diletakkan di atas sirat.

    Maka, diserukan: Wahai sekalian penghuni syurga!

    Maka, mereka muncul dengan rasa takut. Mereka khuatir akan dikeluarkan dari tempat tinggal mereka.

    Ternyata, mereka ditanya: Tahukah kamu, apakah ini?

    Mereka menjawab: Ya, kami tahu, wahai Tuhan kami. Itu adalah maut.

    Selepas itu diserukan pula: Wahai sekalian penghuni neraka!

    Maka, mereka pun muncul dengan penuh gembira. Mereka sangat berharap akan dikeluarkan dari tempat tinggal mereka.

    Ternyata, mereka ditanya: Tahukah kamu, apakah ini?

    Mereka menjawab: Ya, itu adalah maut.

    Maka, maut itu kemudian disembelih di atas sirat, lalu dikatakan kepada kedua-dua golongan itu: Kekallah pada apa yang kamu temui, tidak ada lagi maut buat selama-lamanya.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 463

  • Maut disembelih

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Apabila para penghuni syurga telah masuk ke syurga dan para penghuni neraka telah masuk ke neraka, maka didatangkan maut, maka didatangkan maut, sehingga terletak (atau terhenti) ia di antara syurga dan neraka, lalu disembelih.

    Kemudian penyeru menyeru: Wahai sekalian penghuni syurga, kekallah kamu, tidak ada lagi kematian. Wahai sekalian penghuni neraka, kekallah kamu, tidak ada lagi kematian.

    Maka, penghuni syurga bertambah gembira manakala penghuni neraka semakin sedih.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 462

  • Syafaat Mukmin membawa ke syurga

    Menurut riwayat at-Tirmidzi dan al-Baihaqi: Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya antara umatku ada beberapa orang, yang seorang antaranya boleh memberi syafaat kepada sejumlah besar manusia, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada pula antaranya yang memberi syafaat kepada satu kabilah, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada lagi yang memberi syafaat kepada seseorang dan ahli keluarganya, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya.

    Al-Bazzar meriwayatkan dengan sanadnya secara marfu’: Sesungguhnya seseorang benar-benar boleh memberi syafaat kepada dua atau tiga orang.

    Ada sesetengah ulama menceritakan dalam kitab Zabur Nabi Daud tertulis firman Allah maksudnya:

    Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang zuhud, pada hari kiamat akan Aku katakan kepada mereka: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku menjauhkan dunia daripadamu, bukanlah kerana kerendahanmu di sisi-Ku, tetapi kerana Aku ingin kamu memperoleh bahagianmu melimpah ruah sepenuhnya pada hari ini. Oleh kerana itu, masuklah kamu ke celah-celah barisan, dan carilah sesiapa yang dulu kamu cintai di dunia atau pernah memenuhi hajatmu atau mencegah orang mempergunjingkan (mengata, memfitnah) dirimu atau pernah memberimu sesuap makanan kerana mengharapkan reda-Ku, maka bimbinglah tangannya dan masukkan dia ke dalam syurga.”

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 450 & 451

  • Permohonan Nabi kepada Allah

    Dalam sahih Muslim diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’ab, sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Sesungguhnya Tuhanku telah menyuruh aku membaca al-Quran dengan satu huruf.

    Maka, aku memohon kepada-Nya: “Wahai Tuhanku, ringankan umatku.”

    Namun Dia menyuruhku lagi agar aku membacanya dengan satu huruf.

    Baginda bersabda: Maka, aku berkata, wahai Tuhanku, ringankan umatku. Barulah Dia menyuruhku untuk kali ketiganya. Bacalah al-Quran dengan tujuh huruf. Dan pada setiap permohonan yang kamu ajukan tadi, kamu boleh mengajukan permintaan.

    Oleh kerana itu, aku berkata: Wahai Allah, ampunilah umatku.

    Dan aku menunda permintaanku yang ketiga sehingga pada hari di mana aku menjadi harapan seluruh makhluk, termasuk (Nabi) Ibrahim.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 441

  • Air panas dituangkan ke kepala ahli neraka

    Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bercerita mengenai ahli neraka (ertinya):

    Sesungguhnya air amat panas benar-benar akan dituangkan ke atas kepala salah seorang daripada mereka. Maka, air itu menembus dari atas kepalanya sampai ke rongga perut, maka hancur luluh apa pun yang ada di dalam perut, kemudian keluar melalui kedua-dua belah tapak kaki.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 431

  • Kedengaran batu dilemparkan ke neraka

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Adalah kami bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba kami mendengar bunyi gemuruh.

    Maka, Nabi SAW bertanya: Tahukah kamu sekalian, (bunyi) apakah ini?

    Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.

    Baginda bersabda: Ini adalah seketul batu yang dilempar ke dalam neraka jahannam sejak tujuh puluh tahun lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 426

  • Ucapan menyebabkan masuk neraka

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya seseorang mengucapkan kata-kata yang tidak jelas apa ertinya, maka kata-kata itu menyebabkan dia masuk ke neraka lebih jauh daripada jarak di antara timur dan barat.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 426

  • Neraka bernafas dua kali setahun

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda (mafhumnya): Neraka mengadu kepada Tuhannya lalu berkata: Wahai Tuhanku, sebahagianku memakan bahagian yang lain, maka buatlah aku bernafas. Maka, Allah mengizinkan ia bernafas dua kali dalam setahun. Maka, hawa paling sejuk yang kamu rasakan adalah daripada sejuknya jahannam yang amat sangat, dan hawa paling panas yang kamu rasakan adalah daripada panasnya jahannam.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 423

  • Otak mendidih

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Said al-Khudri, bahawa nama Abu Talib pernah disebut-sebut di hadapan Rasulullah, baginda bersabda (mafhumnya): Mudah-mudahan syafaatku bermanfaat baginya pada hari kiamat, sehingga Allah meletakkannya pada neraka yang dangkal, yang mencapai buku lalinya dan menyebabkan isi otaknya mendidih.

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Penghuni neraka yang paling ringan azabnya mengenakan kasut daripada api, yang menyebabkan otaknya mendidih, terlalu panasnya.

    Al-Bukhari meriwayatkan pula: Bahawa perawi (periwayat) hadis ini berkata: Aku mendengar an-Nu’man mengatakan: Aku mendengar Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah seorang yang diletakkan pada lekukan kedua-dua belah tapak kakinya bara api, yang menyebabkan otaknya mendidih.

    Al-Bukhari juga meriwayatkan: Daripada an-Nu’man bin Basyir RA, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah seseorang yang pada lekukan kedua-dua belah tapak kakinya diletakkan dengan bara, lalu otaknya mendidih seperti mendidihnya kuali dan periuk.

    Muslim juga meriwayatkan: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah bersabda (mafhumnya): Penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah Abu Talib. Dia mengenakan sepasang kasut yang menyebabkan otaknya mendidih.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 422 & 423

  • Api neraka melebihi 69 kali ganda

    Malik meriwayatkan dalam al-Muwatha: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Api untuk bani Adam yang kamu nyalakan ini adalah satu pertujuh puluh daripada api jahannam.

    Maka, mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya api ini benar-benar sudah cukup (panas).

    Baginda bersabda: Sesungguhnya api jahannam melebihinya dengan 69 kali ganda.

    Menurut riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya apimu ini adalah satu pertujuh puluh daripada api jahannam. Ia telah dicuci dua kali di laut. Kalau tidak, maka Allah tidak memberi manfaat apa-apa padanya kepada sesiapa pun.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 421

  • Rupa penghuni syurga

    Imam Ahmad dan ath-Thabrani – lafaz hadis ini menurut ath-Thabrani – meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Penghuni syurga masuk (ke sana) dalam keadaan masih muda, berkulit putih, berambut ikal, bercelak mata, sebaya dengan anak seusia tiga puluh tiga tahun, bentuk mereka seperti Adam, iaitu setinggi enam puluh hasta dengan lebar tujuh hasta.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 391

  • Tiga catatan di sisi Allah

    Imam Ahmad meriwayatkan daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Catatan-catatan amalan di sisi Allah ada tiga jenis: Catatan yang tidak dipedulikan Allah sedikit pun, catatan yang tidak dibiarkan Allah sedikit pun dan catatan yang tidak diampuni Allah. Adapun catatan yang tidak diampuni Allah adalah syirik.


    Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah mengharamkan kepadanya syurga.” (Maksud yang terkandung pada ayat 72, surah al-Maidah)

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 355 & 356

  • Dialog dengan Tuhan Maha Kuasa

    Daripada Adi bin Hatim, daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda (mafhumnya): Setiap seorang daripada kamu sekalian benar-benar akan berdiri di hadapan Allah tanpa hijab yang menghalangnya dari Tuhannya dan tanpa jurubahasa menterjemahkan untuknya.

    Allah bertanya: Tidakkah Aku telah memberimu harta?

    Benar, jawab orang itu.

    Allah bertanya pula: Tidakkah Aku telah mengutuskan kepadamu seorang rasul?

    Benar, jawab orang itu.

    Lalu, dia (orang itu) memandang sebelah kanannya, maka dia tidak melihat kecuali neraka. Dan dia memandang pula ke sebelah kirinya, maka dia tidak melihat melainkan neraka.

    (Oleh kerana itu), hendaklah setiap orang daripada kamu sekalian menjaga dirinya dari neraka, walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma. Dan jika itu pun tiada, maka dengan kalimat (perkataan, ucapan) yang baik. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 351