Category: ISLAMIK

  • Sesetengah orang diusir kerana perbuatan mereka

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Asma binti Abu Bakar, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya aku (akan menunggu) di perigi, sehingga aku boleh melihat sesiapa yang datang kepadaku daripada kamu sekalian. Dan akan ada sesetengah orang yang diusir daripadaku, maka aku berkata: Wahai Tuhanku, mereka daripada golonganku, mereka daripada umatku.

    Lalu dibantah: “Adakah kamu tahu apa yang telah mereka lakukan sepeninggalanmu? Demi Allah, mereka selalu berbalik ke belakang (murtad).”


    Ibnu Abi Malikah selalu berdoa: Wahai Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada berbalik ke belakang (murtad) atau terkena bencana mengenai agama kami.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 292/293

  • Wajah, anggota tubuh bercahaya kerana kesan wuduk

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya perigiku lebih jauh (luas) dari jarak di antara Ailah dan Aden. (Airnya) lebih putih daripada salji, lebih manis daripada madu dicampur susu. Cawan-cawannya lebih banyak daripada bilangan bintang di langit. Dan sesungguhnya aku benar-benar akan mencegah sesetengah orang darinya, sebagaimana seseorang mencegah unta orang lain dari periginya.

    Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah anda mengenali kami pada hari itu?

    Baginda menjawab: Ya, ada tanda pada kamu sekalian yang tidak dimiliki umat lain. Kamu sekalian akan datang kepadaku dengan wajah dan anggota tubuh bercahaya kerana bekas (kesan) wuduk.

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 290/291

  • Cawan-cawannya sebanyak bintang di langit

    Dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim ada diriwayatkan daripada Sahl, bahawa ketika Rasulullah membahagikan ghanimah (harta rampasan perang) Hunain, baginda memberikan kepada beberapa orang tokoh Quraisy dan kabilah Arab yang lain, sehingga ada sebahagian sahabat Ansar yang marah. Baginda SAW pun berpidato, antara lain baginda bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian sepeninggalanku akan melihat atsarah (sikap mementingkan diri sendiri), maka bersabarlah kamu sekalian, sehingga bertemu denganku di perigi (al-haudh).

    Al-Bukhari meriwayatkan pula pada bab al-Haudh dalam sahihnya, daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Al-Kautsar maksudnya ialah kebaikan yang banyak, yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah.

    Abu Bisyr mengatakan: Aku pernah bertanya kepada Said bin Jabir, sesungguhnya ada sebahagian orang yang beranggapan bahawa al-Kautsar itu ialah sungai dalam syurga? Said menegaskan: Dari al-Kautsar ke perigi ada dua pancuran diperbuat daripada emas dan perak.

    Al-Bukhari meriwayatkan pula daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya di hadapanku ada perigi seluas antara Jarba dan Adzruh.

    Al-Bukhari juga meriwayatkan, Abdullah bin Amr bin As, meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: Perigiku seluas perjalanan sebulan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada minyak kasturi, cawan-cawannya sebanyak bintang-bintang di langit. Sesiapa meminum dari perigi itu, maka dia tidak akan terasa dahaga selama-lamanya.

    Al-Bukhari meriwayatkan: Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda: Aku menunggu kamu sekalian di perigi.

    Nota: Jarba ialah nama suatu tempat di wilayah Amman di Balqa Syam, dekat gunung Surah sebelah tanah Hijaz (Mu’jam Buldan).

    Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 286/287

  • Cerita mengenai perigi Nabi

    Dalam sahih Bukhari diriwayatkan bahawa perawi (periwayat) hadis ini berkata: Aku diceritakan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya ukuran perigiku adalah seluas antara Ailah dan Sanaa di Yaman dan sesungguhnya kendi-kendinya sebanyak bintang-bintang di langit.

  • 5 perkara diberikan kepada Nabi Muhammad

    Dalam sahih Bukhari, sahih Muslim dan yang lain, diriwayatkan daripada Jabir dan yang lain, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun antara para nabi sebelumku.

    Aku diberikan pertolongan berupa rasa takut (di hati musuh) dalam jarak perjalanan sebulan.

    Dihalalkan bagiku harta rampasan perang, padahal itu tidak dihalalkan bagi sesiapa pun sebelumku.

    Bumi bagiku dijadikan tempat subur dan suci, sehingga di mana pun seseorang daripada umatku mengalami waktu solat, maka solatlah.

    Aku diberikan syafaat.

    Dan setiap nabi hanya diutus kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada seluruh umat manusia.”


    Nota: Pernyataan “aku diberikan syafaat” maksudnya syafaat yang diminta oleh umat manusia kelak pada hari kiamat kepada Nabi Adam, namun dia menyatakan “Aku tidak patut memberikan itu. Pergilah kamu kepada Nuh.” Nabi Nuh pun berkata sama dan menyarankan umat manusia meminta kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim menyarankan agar memintanya kepada Nabi Musa. Nabi Musa menyarankan memintanya kepada Nabi Isa. Nabi Isa menyarankan memintanya kepada Nabi Muhammad. Baginda SAW berkata: Akulah pemilik syafaat itu. Akulah pemilik syafaat itu.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 279

  • Orang dapat syafaat Nabi

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Jabir bin Abdillah, sabda Rasulullah SAW: Sesiapa mengucapkan ketika mendengar seruan (azan):

    اَللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ القَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الوَسِيْلَةَ وَالفَضِيْلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا الَّذِى وَعَدْتَهُ

    (Wahai Allah! Pemilik seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad wasilah dan keutamaan, dan angkatlah dia ke tempat terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya), maka, orang itu akan mendapat syafaatku pada hari kiamat.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 278/279

  • La ilaha illallah, takkan sepi dalam kubur

    Diriwayatkan daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang yang sentiasa mengucapkan La ilaaha illallaah tidak akan mengalami kesepian di dalam kuburnya, mahupun pada hari perhimpunan. Seolah-olah aku telah berada bersama mereka, ketika mereka mengibaskan debu dari wajah mereka, lalu mereka berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan daripada kami.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 265

  • Rasulullah yang pertama memberi syafaat

    Muslim bin Hajjaj meriwayatkan, bahawa perawi hadis ini berkata, Abu Hurairah menceritakan kepadanya, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Aku adalah pemimpin anak cucu Adam pada hari kiamat, orang yang pertama sekali dikeluarkan dari rekahan bumi, orang yang pertama sekali memberi syafaat dan orang yang pertama diterima syafaatnya.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 229

  • Bumi diharamkan memakan jasad para nabi

    Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan: Daripada Aus bin Aus ats-Tsaqafi, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sebaik-baik hari kamu adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, pada hari itu dia dicabut nyawanya. Pada hari itu sangkakala ditiup (tiupan mengejutkan) dan pada hari itu pula (ditiup tiupan yang) mematikan. Maka, perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku padanya (pada hari Jumaat), kerana selawat kamu sekalian diperlihatkan kepadaku.

    Maka, mereka (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin selawat kami diperlihatkan, jika anda telah hancur?

    Baginda menjawab: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mengharamkan bumi memakan jasad kalangan nabi solawatullahi ‘alaihim.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 229

  • Jumaat, apa ada padanya

    Imam Malik bin Anas meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Allah berfirman — Sebaik-baik hari yang disinari matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu, Adam diciptakan, pada hari itu dia diturunkan, pada hari itu dia diterima taubatnya, pada hari itu dia meninggal dan pada hari itu pula terjadi kiamat. Dan tidak seekor pun binatang melata di bumi melainkan terlelap pada hari Jumaat, sejak bermulanya waktu Subuh hingga terbit matahari, kerana takut kepada hari kiamat selain manusia dan jin. Dan pada hari Jumaat itu ada suatu saat yang mana tidak seorang pun hamba (Allah) yang Muslim yang kebetulan melakukan solat dan meminta sesuatu kepada Allah saat itu, melainkan Dia memberikannya.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 228

  • Tiupan sangkakala, tulang ekor

    Tiupan sangkakala akan terjadi tiga kali iaitu tiupan mengejutkan (nafkhatul faza’), tiupan mematikan (nafkhatus sa’iq) dan tiupan membangkitkan (nafkhatul ba’ats).

    Muslim meriwayatkan dalam sahihnya: Daripada Abu Hurairah sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Jarak antara dua tiupan ialah empat puluh.

    Mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah, 40 hari?

    Dia menjawab: Aku tidak tahu.

    Mereka bertanya: 40 bulan?

    Dia menjawab: Aku tidak tahu.

    Mereka bertanya: 40 tahun?

    Dia menjawab: Aku tidak tahu.

    Kemudian turunlah air dari langit, lalu mereka (penghuni kubur) tumbuh seperti tumbuhnya sayuran.

    Rasulullah bersabda: Tidak satu pun anggota tubuh manusia kecuali hancur, selain satu tulang saja, iaitu tulang ekor. Dan daripada tulang itulah penciptaan (tubuh manusia) disusun kembali pada hari kiamat.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 203

  • Berjalan dengan wajah

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Pada hari kiamat, manusia dikumpulkan dalam tiga golongan. Satu golongan berjalan kaki, satu golongan berkenderaan dan satu golongan lagi berjalan dengan wajah mereka.

    Ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana cara mereka berjalan dengan wajah mereka?

    Rasulullah menjawab: Sesungguhnya (Allah) yang telah membuat mereka berjalan dengan kakinya, berkuasa pula membuat mereka berjalan dengan wajah mereka. Adapun mereka, sesungguhnya dengan wajahnya mereka berusaha menghindari setiap gundukan tanah dan duri.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 210

  • Apabila tidak terdengar lagi kalimat tauhid

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Anas, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Kiamat tidak akan terjadi, sehingga di muka bumi tidak terdengar lagi ucapan La ilaha illallah.

    Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Anas, Rasulullah bersabda: Tidak berlaku kiamat, sehingga tidak diucapkan di bumi, Allah, Allah.

    Demikian juga menurut riwayat Muslim: Tidak berlaku kiamat, sehingga tidak diucapkan di bumi, Allah, Allah.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 160/161

  • Kubur dijadikan masjid

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya kepandaian bicara itu punya daya tarik. Dan sejahat-jahat manusia adalah mereka yang masih hidup sewaktu terjadi kiamat, dan mereka yang menjadikan kubur mereka sebagai masjid.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 160

  • Tahun-tahun penuh penipuan

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah bersabda (mafhumnya): Menjelang terjadi kiamat akan ada tahun-tahun yang penuh penipuan, orang jujur didustai, pendusta dibenarkan, orang dipercayai dianggap khianat, pengkhianat dipercayai dan orang kecil lagi hina pandai berbicara.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 159

  • Waktu terasa cepat berlalu

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya – yang dapat difahami):

    Kiamat tidak akan terjadi sebelum waktu (terasa) saling berdekatan. Maka, adalah setahun seperti sebulan. Dan adalah sebulan seperti (setiap kali) Jumaat, seperti seharian, dan adalah seharian seperti sejam. Dan sejam seperti lamanya membakar daun kurma.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 158

  • Apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat

    Dalam sahih Bukhari ada riwayat daripada Abu Hurairah (ertinya): Bahawa seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW, bilakah terjadi kiamat?

    Maka, kata Rasulullah: Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Kata Badwi itu, wahai Rasulullah, bagaimana atau dia berkata, apakah disia-siakan amanah itu?

    Rasulullah menjawab: Apabila urusan telah diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah terjadi kiamat.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 157

  • Nabi ditanya Jibril mengenai iman, kiamat

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa pada suatu hari Rasulullah keluar menemui orang ramai. Tiba-tiba datanglah seorang Badwi bertanya mengenai iman, dan seterusnya hingga akhirnya orang itu bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah datangnya hari kiamat?

    Baginda menjawab: Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi akan aku ceritakan kepadamu syarat-syaratnya, iaitu apabila hamba wanita telah melahirkan tuannya sendiri, dan apabila orang-orang (yang asalnya) tanpa alas kaki, telanjang, miskin, pengembala kambing telah menjadi pemimpin rakyat. Itulah sebahagian daripada syarat-syarat datangnya kiamat, antara lima syarat lain, yang hanya diketahui oleh Allah.

    Kemudian baginda membaca ayat (yang bermaksud): Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya. (Surah Luqman, ayat 34)

    Kemudian lelaki itu pun pergi.

    Baginda bersabda: Suruhlah dia kembali.

    Tetapi para sahabat tidak melihat apa-apa.

    Baginda menerangkan: Orang tadi adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar manusia mengenai agama mereka. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim dalam as-sahihain – dua kitab sahih)

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 156

  • 6 petanda menjelang kiamat

    Dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim diriwayatkan daripada Anas, Rasulullah bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya antara syarat-syarat terjadi kiamat ialah diangkat ilmu, banyak kebodohan, berleluasa perzinaan, banyak minum arak, sedikit lelaki dan ramai wanita, sehingga lima puluh wanita menjadi tanggungan seorang lelaki.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 154

  • Iman tidak bermanfaat lagi apabila matahari terbit dari barat

    Al-Bukhari meriwayatkan bahawa perawi hadis ini berkata: Kami diceritakan oleh Abu Hurairah sabda Rasulullah SAW: Kiamat takkan terjadi sebelum matahari terbit dari barat. Apabila manusia telah melihatnya (terbit dari barat), maka berimanlah seluruh penduduk bumi. Tetapi pada waktu itu tidak bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya, yang sebelumnya tidak beriman.

    Al-Bukhari meriwayatkan juga daripada Abu Hurairah sabda Rasulullah SAW: Kiamat takkan terjadi sebelum matahari terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit dan manusia melihatnya, maka berimanlah mereka semua. Itulah saat iman seseorang tidak bermanfaat lagi bagi dirinya.

    Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah sabda Rasulullah SAW: Ada tiga kejadian yang apabila telah terjadi, maka iman seseorang tidak berguna lagi bagi dirinya, yang sebelumnya tidak beriman atau (belum) melakukan kebaikan dalam masa imannya, iaitu terbitnya matahari dari barat, munculnya asap dan binatang melata dari dalam bumi.

    Dalam sahih Bukhari dan Muslim; daripada Abu Dzar Rasulullah pernah bersabda kepadaku: Tahukah kamu ke mana perginya matahari ini? Tidak, jawabku. Rasul bersabda: Sesungguhnya ia pergi bersujud di bawah arasy, kemudian meminta izin (untuk tidak terbit lagi). Oleh kerana itu, tidak lama lagi akan dikatakan kepadanya, “kembalilah dari mana kamu datang”. Maka, pada waktu itulah iman seseorang tidak bermanfaat lagi bagi dirinya, yang sebelumnya tidak beriman atau (belum) melakukan kebaikan selama masa imannya.

    Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 142-144