Category: ISLAMIK

  • Sesiapa mengajak kesesatan, dia mendapat dosa

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengajak kepada petunjuk, maka dia mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian daripada pahala-pahala mereka, dan sesiapa mengajak kepada kesesatan, maka dia mendapat dosa sebagaimana dosa orang-orang mengikutinya, tidak berkurang yang demikian itu daripada dosa-dosa mereka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 167

  • Mendapat pahala seperti pelakunya

    Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Ansari al-Badri berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Permulaan riwayat ini, Abu Mas’ud berkata: Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata: Sungguh kenderaanku binasa. Oleh itu berilah saya tumpangan. Baginda menjawab: Saya tidak punya. Lantas, sahabat lain berkata: Wahai Rasulullah, saya dapat menunjukkan kepadanya orang yang dapat memberikan tumpangan untuknya. Seterusnya Rasulullah bersabda: Sesiapa memberi petunjuk kepada kebaikan, maka baginya seperti pahala pelakunya.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 167

  • Sebaik-baik ungkapan, sebaik-baik petunjuk

    Daripada Jabir RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berkhutbah, maka kedua-dua mata baginda merah padam, suaranya nyaring, kelihatan sangat marah sehingga seakan-akan baginda seorang yang memberikan peringatan kepada para tentera yang mengatakan: (Berhati-hatilah) pagi-pagi ini atau petang musuh akan menyerang kamu. Baginda bersabda: Saya diutus, sedang saya dengan terjadinya kiamat bagaikan dua jari ini. Baginda merapatkan antara jari telunjuk dan jari tengah. Baginda bersabda pula: Amma Ba’du. Maka, sesungguhnya sebaik-baik ungkapan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW, sedang seburuk-buruk perkara ialah hal-hal yang diada-adakan dan semua bidaah adalah sesat.

    Seterusnya baginda bersabda: Saya lebih berhak terhadap setiap mukmin daripada dirinya sendiri. Sesiapa meninggalkan harta, maka harta itu milik keluarganya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau memiliki tanggungan, maka itu adalah kepadaku dan menjadi tanggunganku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Diriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah — dalam hadis tersebut terdapat ungkapan: “Sesungguhnya sesiapa antara kamu yang hidup dan melihat perbezaan yang banyak, maka tetaplah mengikuti sunahku…”

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163-164

  • “Wahai Allah, ampunilah kaum hamba ini…”

    Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Mas’ud RA berkata: Seakan-akan saya melihat Rasulullah sedang menceritakan tentang seorang nabi di antara para nabi, solawaatullaahi wasalaamuhu alaihim. Nabi itu dipukul oleh kaumnya sampai keluar darah dan nabi itu mengusap darah dari wajahnya sambil mengucapkan “Wahai Allah, ampunilah kaum hamba ini, sebab mereka tidak mengerti”. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 64

  • “Saya bersabar saja”

    Daripada Atha bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas berkata kepadaku, Apakah kamu mahu saya tunjukkan seorang perempuan yang termasuk ahli syurga?

    Saya berkata: Baiklah.

    Dia melanjutkan: Perempuan berkulit hitam itu pernah datang kepada Nabi, lalu dia berkata: Sesungguhnya saya diserang oleh penyakit ayan dan kerana (penyakit itu) aurat saya terbuka. Maka, berdoalah kepada Allah untuk saya.

    Baginda bersabda: Jika engkau mahu, hendaklah bersabar saja dan bagimu syurga, tetapi jika engkau berkehendak, maka saya akan berdoa kepada Allah agar menyembuhkan penyakitmu.

    Lantas perempuan itu berkata: Saya bersabar saja. Lalu berkata lagi: Sesungguhnya kerana penyakit ini aurat saya terbuka, maka berdoalah kepada Allah agar aurat saya tidak sampai terbuka. Kemudian Nabi mendoakannya. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63 & 64

  • Syurga sebagai ganti

    Daripada Anas berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman, “jikalau Aku memberi cubaan kepada hamba-Ku dengan melenyapkan kedua-dua benda yang disayanginya, kemudian dia bersabar, maka Aku akan memberikan ganti kepadanya syurga.” Yang dimaksudkan ialah kehilangan kedua-dua matanya. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63

  • Seperti pahala orang mati syahid

    Aisyah meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW perihal penyakit taun, lalu baginda memberitahukannya, bahawa sesungguhnya dahulu taun merupakan seksaan yang dikirimkan oleh Allah Taala kepada siapa saja yang Dia kehendaki, lalu Allah Taala menjadikannya sebagai rahmat kepada orang-orang Mukmin. Maka, tidak ada seorang hamba pun yang tertimpa taun, kemudian menetap di daerah seraya bersabar dan mengharapkan keredaan daripada Allah serta mengetahui bahawa taun tidak akan menimpanya kecuali telah ditetapkan oleh Allah kepadanya, melainkan dia akan memperoleh seperti pahala orang yang mati syahid. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63

  • Ganjaran syurga

    Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah Taala berfirman, tidak ada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang Mukmin di sisi-Ku ketika Aku mengambil kekasihnya dari penduduk dunia, kemudian dia ikhlas menerima melainkan syurga.” (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 62

  • Bersabarlah

    Daripada Anas RA berkata: Suatu ketika Nabi berjalan melewati seorang perempuan yang sedang menangis di samping sebuah kubur. Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.”

    Perempuan itu berkata: “Menjauhlah dariku, kerana engkau tidak mengalami musibah sebagaimana musibahku dan engkau tidak mengetahuinya.”

    Seterusnya dikatakan kepada perempuan itu bahawa yang bersabda tadi adalah Nabi.

    Lantas dia datang ke rumah Nabi, ternyata di depan pintu itu dia tidak menemui penjaga pintu. Perempuan itu berkata: “Saya memang tidak mengenali anda.”

    Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya bersabar itu pada saat permulaan datangnya musibah.” (Sahih al-Bukhari, Muslim & Abu Daud)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 62

  • Fatimah di saat Nabi tenat

    Daripada Anas berkata: Ketika Nabi SAW sakitnya semakin tenat, maka baginda diliputi oleh kesusahan, kemudian Fatimah berkata: “Alangkah beratnya kesusahan dihadapi ayahanda.”

    Baginda lalu bersabda: “Ayahmu tidak akan mengalami kesusahan lagi sesudah hari ini.”

    Selanjutnya, setelah baginda wafat, Fatimah berkata: “Aduhai ayahanda, baginda telah memenuhi panggilan Rabbnya. Aduhai ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat kediamannya. Aduhai ayahanda, kepada Jibril kita sampaikan berita wafatnya.”

    Kemudian, setelah baginda dimakamkan, Fatimah berkata pula: “Mengapa hatimu semua berasa tenang dengan menyebarkan tanah di atas makam Rasulullah?” (Hadis diriwayatkan al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 57

  • Bersyukur dan bersabar

    Daripada Abi Yahya Suhaib bin Sinan berkata:

    Rasulullah SAW bersabda: “Sangatlah menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan tersebut tidak dimiliki oleh seorang pun selain orang Mukmin, iaitu apabila dia mendapat kelapangan hidup, lalu dia bersyukur, maka hal itu merupakan kebaikan baginya.

    “Apabila dia ditimpa kesulitan, lalu dia bersabar, maka hal itu pun merupakan kebaikan baginya.” (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 56

  • Sesiapa berasa dirinya cukup, akan diberi kekayaan

    Daripada Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa ada beberapa orang daripada Ansar meminta-minta kepada Rasulullah, lalu baginda memberikan sesuatu kepada mereka, kemudian mereka meminta lagi dan baginda memberinya lagi, sehingga harta di sisi baginda habis.

    Seterusnya setelah baginda mendermakan semua harta di tangannya, baginda bersabda:

    “Apa saja harta yang ada di sisiku, maka tidak sekali-kali akan kusimpan sehingga tidak kuberikan padamu semua.

    “Sesiapa yang menjaga diri (daripada meminta-minta daripada orang lain) maka dia akan diberi rezeki kepuasan oleh Allah dan sesiapa yang berasa dirinya cukup, maka akan diberi kekayaan oleh Allah, dan sesiapa yang bersabar, maka dia akan diberi kesabaran oleh Allah.

    “Tiada seorang pun yang dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik serta lebih luas daripada kesabaran.” (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 56

  • Solat adalah cahaya

    Daripada Abi Malik al-Harits bin Asim al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Bersuci adalah sebahagian iman, (ucapan) alhamdulillah memenuhi timbangan, (ucapan) subhanallah dan alhamdulillah dapat memenuhi atau mengisi penuh antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya pula, al-Quran dapat menjadi hujah yang membelamu dan dapat pula sebagai hujah yang memberatkanmu. Setiap orang berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya (kepada Allah) bererti dia membebaskan dirinya sendiri atau merosakkan dirinya sendiri. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 55

  • Kedua-duanya masuk syurga

    Daripada Abi Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah tertawa (senang) kepada dua orang. Salah seorang daripada kedua-duanya membunuh yang lainnya, kemudian kedua-duanya masuk syurga. Yang seorang itu berperang di jalan Allah, kemudian dia dibunuh. Selanjutnya Allah menerima taubat atas orang yang membunuhnya tadi, lalu dia masuk Islam dan selanjutnya dia mati syahid. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 53

  • Allah menerima taubat orang bertaubat

    Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang anak Adam memiliki selembah emas, dia tentu menginginkan memiliki dua lembah, dan tidak akan dapat memenuhi mulutnya melainkan tanah dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 52

  • Seandainya taubat itu dibagikan kepada tujuh puluh orang daripada penduduk Madinah, pasti masih mencukupi…

    Daripada Abi Nujaid Imran bin Husoin al-Khuza’i RA bahawa ada seorang perempuan daripada suku Juhainah datang kepada Rasulullah SAW dan dia dalam keadaan hamil, kerana perbuatan zina. Kemudian, dia berkata: Wahai Rasulullah, saya telah melakukan suatu perbuatan yang harus dikenakan had (hukuman had), maka lakukanlah had itu ke atas diriku.

    Nabi Allah SAW lalu memanggil wali perempuan terbabit, lalu baginda: Berbuat baiklah kepada perempuan ini dan apabila dia telah melahirkan, maka datanglah ke mari.

    Wali itu melakukan apa yang telah diperintahkan.

    Kemudian Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan hukuman itu. Selanjutnya perempuan itu diikatkan dengan pakaiannya, kemudian direjam. Selanjutnya baginda melakukan solat jenazah perempuan itu.

    Umar berkata kepada baginda: Apakah anda melakukan solat jenazahnya wahai Rasulullah, padahal dia telah berbuat zina?

    Baginda bersabda: Dia telah bertaubat dengan sungguh-sungguh, seandainya taubatnya itu dibagikan kepada tujuh puluh orang daripada penduduk Madinah, pasti masih mencukupi. Adakah engkau pernah menemui seseorang yang lebih utama daripada orang yang mendermakan jiwanya kerana Allah. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 51 & 52

  • Kisah seorang yang membunuh 99 orang

    Daripada Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa Nabi Allah SAW bersabda:

    Pernah terjadi kepada umat sebelum kamu seorang yang membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lantas dia mencari orang paling alim di muka bumi ini. Lalu dia ditunjukkan agar datang kepada seorang rahib. Dia pun datang kepada rahib itu. Dia mengatakan bahawa dirinya telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah masih ada pintu taubat untuknya? Rahib menjawab: Tidak ada. Lalu dia membunuh rahib itu, sehingga orang yang dibunuh olehnya genap seratus orang.

    Kemudian dia mencari lagi orang paling alim di muka bumi ini, sehingga dia ditunjukkan agar datang kepada seorang lelaki yang alim. Dia berkata kepadanya, bahawa dirinya telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada pintu taubat baginya? Orang alim itu menjawab: Ya, masih ada. Siapa yang menghalangi antara seseorang dengan taubatnya! Pergilah ke daerah ini dan ini. Sungguh di daerah itu terdapat orang-orang yang beribadat kepada Allah. Beribadatlah kepada Allah bersama mereka. Engkau jangan kembali ke daerahmu, kerana daerahmu adalah tempat yang buruk. Dia pun berangkat.

    Ketika dia sampai di pertengahan jalan datanglah waktu kematiannya. Akhirnya malaikat pembawa rahmat dan malaikat pembawa azab berselisih (berlaku perselisihan). Malaikat rahmat mengatakan, dia datang dalam keadaan bertaubat, seraya menghadapkan hatinya kepada Allah. Sedangkan malaikat azab berkata, sungguh dia belum pernah melakukan amalan kebaikan sama sekali.

    Lantas malaikat yang menjelma manusia datang kepada mereka. Mereka menjadikan malaikat itu sebagai pemutus hukum antara mereka berdua.

    “Ukurlah jarak tempat dia meninggal dengan kedua-dua daerah. Daerah yang paling dekat di antara kedua-duanya itu, maka dia dihukumi sesuai dengan daerah itu.”

    Lantas mereka mengukurnya, dan ternyata dia lebih dekat ke daerah tujuannya. Seterusnya malaikat rahmat yang mendapatkannya. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

    Dalam riwayat sahih lain disebutkan: Ternyata dia lebih dekat ke desa yang baik dengan terpaut sejengkal. Oleh kerana itu, dia dianggap termasuk penduduk daerah itu.”

    Dalam riwayat sahih lain, disebut: Allah memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tinggalkan) agar menjauh dan memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tuju) agar mendekat. Dia berkata: Ukurlah jarak di antara dia dengan kedua-dua desa itu, maka mereka mendapatinya lebih dekat ke desa ini dengan terpaut satu jengkal, lalu Allah memberi keampunan kepadanya.

    Dalam riwayat lain lagi disebutkan: Orang terbabit bergerak dengan dadanya ke arah tempat yang dituju.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 41

  • Taubat sebelum terlambat

    Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Umar al-Khattab RA, daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai di tenggorak. (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi, dan dia mengatakan hadis ini adalah hadis hasan [statusnya])

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

  • Bertaubat segera

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari arah barat, maka Allah menerima taubatnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

  • Allah Maha Pengampun

    Daripada Abi Musa Abdillah bin Qais al-Asy’ari RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya (rahmat-Nya) di malam hari, agar orang yang berbuat kesalahan di siang hari bertaubat dan Dia juga membuka tangan-Nya (rahmat-Nya) di siang hari agar orang yang berbuat kesalahan di malam hari bertaubat. Demikian ini terus-menerus sampai terbitnya matahari dari arah barat. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38