Category: ISLAMIK

  • Nabi taubat 100 kali sehari

    Daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzani RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Maka, sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari seratus kali. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36

  • Nabi mohon keampunan lebih 70 kali sehari

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, sesungguhnya saya memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36

  • Kisah tiga orang dengan batu besar menutup mulut gua

    Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Umar al-Khattab RA meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    Ada tiga orang daripada golongan umat sebelum kamu sedang berpergian hingga mereka terpaksa menginap di sebuah gua. Kemudian mereka masuk ke dalamnya.

    Tiba-tiba sebongkah batu besar jatuh dari gunung, lalu menutup mulut gua itu.

    Mereka berkata: Tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu daripada batu besar ini melainkan jika kamu berdoa kepada Allah dengan perantaraan amalan soleh kamu.

    Lalu, seorang daripada mereka berdoa: Wahai Allah, saya mempunyai dua orang tua yang sudah tua dan lanjut usia. Saya tidak pernah memberi minum kepada sesiapa pun sebelum kedua-duanya itu, baik kepada keluarga ataupun hamba sahaya. Kemudian, pada suatu hari, saya terlalu jauh mencari kayu bakar, sehingga mereka berdua sudah tidur sebelum saya pulang. Selanjutnya saya memerah susu sebagai minuman untuk kedua-duanya, dan saya mendapati mereka berdua telah tidur. Saya enggan membangunkan mereka dan saya enggan memberikan minuman itu kepada orang lain sebelum mereka berdua, baik kepada keluarga atau hamba sahaya. Saya tetap berdiam. Sementara gelas minuman masih di tangan saya. Saya menunggu mereka bangun, sampai fajar menyingsing dan anak-anak menangis dekat tumit saya kerana lapar.

    Setelah kedua-duanya bangun, lalu mereka minum minuman mereka. Wahai Allah, jika saya melakukan yang sedemikian itu benar-benar mengharapkan reda-Mu, maka lapangkanlah kesukaran yang sedang kami hadapi daripada batu besar yang menutup ini.

    Maka, batu besar itu tiba-tiba terbuka sedikit, tetapi mereka masih belum dapat keluar dari gua.

    Yang lain berdoa: Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai seorang sepupu perempuan. Dia merupakan orang yang paling kucintai — dalam riwayat lain menyebutkan “saya mencintainya sebagaimana orang-orang lelaki sangat mencintai perempuan” — kemudian saya merayunya, tetapi dia menolak keinginanku, sehingga dia mengalami paceklik. Dia mendatangiku, lalu saya memberikan seratus dua puluh dinar kepadanya, dengan syarat dia mahu berdua-duaan denganku di tempat sepi. Dia pun mahu melakukannya. Sehingga setelah saya dapat menguasai dirinya — dalam satu riwayat lain disebutkan “setelah saya dapat duduk di antara kedua-dua kakinya, dia berkata, takutlah kepada Allah dan janganlah engkau merenggut kesucianku melainkan dengan haknya”. Lantas saya berpaling daripadanya, padahal dia adalah perempuan yang paling kucintai, dan saya biarkan emas yang telah saya berikan untuknya. Wahai Allah, jika saya melakukan hal ini dengan niat untuk mendapatkan reda-Mu, maka lapangkanlah kesukaran yang sedang kami hadapi ini. Lantas batu besar itu kemudian terbuka lagi, namun mereka masih juga belum dapat keluar dari gua.

    Orang ketiga berdoa: Wahai Allah, saya mengupah beberapa buruh dan semuanya telah saya berikan upahnya masing-masing, kecuali seorang lelaki. Dia meninggalkan upahnya dan pergi. Upahnya itu saya kembangkan sehingga nilainya bertambah banyak. Pada suatu waktu, dia datang kepada saya, kemudian dia berkata: Wahai hamba Allah, tolong berikan upahku yang dulu itu. Saya berkata: Semua yang engkau lihat ini adalah berasal daripada hasil upahmu itu, baik yang berupa unta, sapi kambing dan hamba sahaya.
    Dia berkata: Wahai hamba Allah, janganlah engkau bercanda denganku. Saya menjawab: Saya tidak bercanda. Kemudian, orang itu mengambil segala yang dimilikinya. Semuanya digiring dan tidak seekor pun dia tinggalkan. Wahai Allah, jika apa yang saya lakukan ini dengan niat mengharapkan reda-Mu, maka lapangkanlah kami daripada kesukaran yang sedang kami hadapi ini. Batu besar itu lalu membuka lagi dan mereka pun dapat keluar dari gua itu. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 33 – 35

  • Catatan kebaikan, keburukan

    Dari Abi al-Abbas Abdullah bin Abbas bin Abdul Muttalib meriwayatkan, daripada Rasulullah SAW dalam suatu riwayat yang diceritakan daripada Rabbnya, baginda bersabda:

    Sesungguhnya Allah mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal itu. Sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah Yang Maha Suci dan Tinggi mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan kebaikan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan di sisi-Nya, hingga berganda menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan lebih, menjadi sangat banyak.

    Seterusnya, sesiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu keburukan saja di sisi-Nya. (Sahih Bukhari & Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 32

  • Kelebihan solat berjemaah

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Solat seorang lelaki dengan berjemaah melebihi solatnya di pasar atau rumahya dengan terpaut dua puluh sekian tingkat darjatnya.

    Hal ini kerana apabila seseorang berwuduk dan melakukannya dengan baik, kemudian datang ke masjid, tidak ada yang mendorongnya ke masjid melainkan untuk solat, dan tidak ada keinginan lain kecuali solat, maka setiap kali dia melangkah kakinya selangkah, melainkan dinaikkan baginya satu darjat dan dilebur daripadanya satu kesalahan sampai dia masuk ke dalam masjid.

    Apabila dia masuk ke dalam masjid, maka dia memperoleh pahala sebagaimana dalam keadaan solat, selama solat itu yang menyebabkan dia bertahan di dalam masjid, dan para malaikat mendoakan seorang antara kamu agar mendapatkan rahmat, selama dia masih berada di tempat solat.

    Para malaikat berdoa: Wahai Allah, kasihanilah orang ini. Wahai Allah, ampunilah dia. Wahai Allah, terimalah taubatnya.

    Hal ini berlangsung selama orang terbabit tidak berbuat keburukan dan selama dia belum berhadas. (Sahih Bukhari & Muslim – lafaz hadis ini oleh Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 31

  • Kedua-dua masuk neraka

    Daripada Abi Bakrah Nufai’ bin al-Harib ats-Tsaqafiyy, bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila dua orang Muslim berhadap-hadapan dengan membawa pedangnya masing-masing, maka yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka.

    Aku bertanya: Ini yang membunuh (sudah jelas) tetapi bagaimana dengan orang yang terbunuh?

    Rasulullah menjawab: Sesungguhnya orang yang terbunuh itu ingin juga membunuh kawannya. (Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 31

  • Manakah perang fisabilillah?

    Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari berkata, Rasulullah ditanya mengenai seseorang yang berperang kerana ingin menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang kerana kesombongan dan ada pula yang berperang kerana riyak. Manakah antara semua itu yang termasuk berperang pada jalan Allah (fisabilillah)?

    Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimat Allah menjadi tinggi (menjadi luhur), maka ia pada jalan Allah (fisabilillah). (Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 30

  • Allah lihat pada hati

    Daripada Abi Hurairah Abdir Rahman bin Sakhr berkata, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu sekalian, dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu sekalian. Tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu sekalian. (Diriwayatkan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 30

  • Nafkah dengan niat mendapatkan reda Allah, akan mendapat pahala

    Daripada Abi Ishaq Sa’d bin Abi Waqas Malik bin Uhaib bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai al-Qurasyi az-Zuhri – beliau adalah salah seorang daripada sepuluh orang yang diberi kesaksian akan masuk syurga.

    Dia berkata: Rasulullah datang kepadaku untuk menjengukku pada tahun haji wada’ kerana sakit berat yang menimpa diriku, lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya sakit yang ada pada diriku telah mencapai keadaan yang engkau ketahui, sedangkan aku seorang yang berharta, dan tidak ada yang mewarisi hartaku melainkan seorang puteriku saja. Oleh kerana itu, apakah boleh jika aku menyedekahkan dua pertiga hartaku?

    Baginda menjawab: Jangan.

    Aku berkata lagi: Jika separuhnya, wahai Rasulullah?

    Baginda menjawab: Jangan juga.

    Aku melanjutkan: Sepertiga, bagaimana wahai Rasulullah?

    Baginda bersabda: Ya, baiklah. Sebenarnya sepertiga itu sudah banyak, atau sudah besar jumlahnya. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan para ahli warismu dalam keadaan kaya (berharta), maka itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin, sehingga meminta-minta pada orang lain. Sesungguhnya tiada sesuatu nafkah yang engkau berikan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Allah, melainkan engkau pasti akan mendapatkan pahalanya sekalipun makanan yang engkau berikan ke dalam mulut isterimu.

    Abu Ishaq melanjutkan riwayatnya: Aku berkata lagi: Apakah aku ditinggalkan (di Makkah) setelah kepulangan sahabat-sahabatku itu.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau tidak akan tertinggal. Kemudian apabila engkau melakukan suatu amalan kebaikan yang engkau maksudkan untuk mendapatkan keredaan Allah, melainkan darjat dan kedudukanmu akan bertambah. Barangkali sekalipun engkau ditinggalkan, tetapi nantinya akan ada beberapa kaum yang dapat mengambil manfaat daripadamu dan ada kaum lainnya yang mendapat mudarat lantaran dirimu. Wahai Allah, sempurnakanlah pahala untuk sahabat-sahabatku dalam hijrah mereka itu dan janganlah Engkau balikkan mereka pada tumit-tumit mereka (murtad). Tetapi yang miskin-rugi itu ialah Sa’ad bin Khaulah.

    Rasulullah berasa sangat kasihan padanya sebab matinya di Makkah. (Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 29 & 30

  • Mengikut niat

    Daripada Abi Yazid Ma’ni bin Yazid bin al-Akhnas, dia, bapanya dan datuknya termasuk golongan sahabat.

    Dia berkata: Adalah bapaku Yazid mengeluarkan beberapa dinar yang digunakan untuk bersedekah, lalu dinar-dinar itu dia letakkan di sisi seseorang dalam masjid. Lantas, aku datang dan mengambilnya. Kemudian, aku menemui ayahku, dengan membawa dinar-dinar itu.

    Lalu ayahku berkata: Demi Allah, bukan engkau yang aku kehendaki.

    Selanjutnya hal itu aku adukan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda: Bagimu, apa yang engkau niatkan wahai Yazid, sedangkan bagimu apa yang engkau ambil, wahai Ma’nu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    * Bacaan Ma’ni atau Ma’nu berubah bunyi akhirnya mengikut baris dalam susunan ayat Arab.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 28

  • Tiada lagi hijrah selepas pembebasan Makkah

    Daripada Aisyah RAnha berkata bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya):

    Tidak ada hijrah selepas pembebasan (pembukaan atau kemenangan Makkah), akan tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Dan (oleh kerana itu), apabila kamu semua diminta untuk berangkat (berjihad), maka berangkatlah. (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

    * Maknanya tiada lagi hijrah dari Makkah sebab ketika itu ia sudah menjadi negara Islam.

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 27

  • Dibangkitkan berdasarkan niat mereka

    Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdillah yakni Aisyah RAnha berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi Kaabah. Ketika mereka berada di suatu padang pasir dari tanah lapang, lalu dibenamkan orang pertama hingga yang terakhir daripada mereka.

    Dia (Aisyah) berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana dibenamkan daripada yang pertama dan yang terakhir mereka, sedangkan antara mereka ada pedagang di pasar dan yang tidak termasuk golongan mereka?

    Baginda berkata: Dibenamkan dengan yang pertama dan yang akhir mereka, kemudian mereka dibangkitkan berdasarkan niat-niat mereka. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim — Redaksi hadis ini oleh Bukhari)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 27

  • Setiap orang, apa yang dia niatkan

    Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya amalan-amalan dengan niat-niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Maka, sesiapa adalah hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa adalah hijrahnya untuk dunia hendak diperolehinya, atau seorang wanita hendak dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kepadanya. (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

    Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 25 & 26